Polis nafi Sabah dikenakan 'lockdown' selepas PRN

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa perintah berkurung atau 'lockdown' akan dikenakan di empat daerah zon merah di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu susulan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, tiada perintah berkurung sepenuhnya dikenakan sebaliknya kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran akan dikuatkuasa di empat berkenaan iaitu Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau yang mencatat peningkatan kes wabak itu.

Beliau berkata, empat daerah di Pantai Timur Sabah itu akan diberi tumpuan selepas PRN Sabah dan tindakan seterusnya itu akan diputuskan hasil perbincangan bersama pihak berkaitan.

“Ini bukanlah perintah berkurung sepenuhnya tetapi mungkin PKPD secara pentadbiran. Bagaimanapun kita akan adakan perbincangan lagi bersama pihak berkaitan.

“Justeru saya menggesa supaya penduduk di kawasan-kawasan zon merah ini untuk mengurangkan pergerakan dan sentiasa menjaga diri dan kesihatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Terdahulu tular di laman sosial termasuk WhatApps kononnya akan berlaku perintah berkurung (lockdown) di empat daerah di Sabah selepas tamat PRN negeri itu.

Artikel Berkaitan: