X

Kindly register in order to view this article
!

PKPDP daerah Kota Setar tamat hari ini: Ismail Sabri

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (PKPDP) di Daerah Kota Setar, Kedah yang bermula pada 11 Sept lalu tamat pada hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun PKPDP secara bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) dilanjutkan hingga 7 Oktober ini kerana daerah itu berisiko tinggi penularan koronavirus (Covid-19).

"Seramai 94 penduduk di lokasi tersebut telah disaring dan sembilan daripadanya didapati positif Covid-19 yang melibatkan lima rumah.

"Pelanjutan tempoh ini diperlukan bagi membolehkan saringan kedua dilakukan Kementerian Kesihatan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat kawalan pergerakan di lokasi tersebut bagi memastikan semua penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perintah kuarantin di rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Korok Lama di Alor Setar juga ditutup bermula esok hingga 9 Oktober.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan 78 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, dan daripada jumlah itu, 74 individu dikompaun manakala empat direman.

Antara kesalahan tertinggi dilaporkan ialah 23 individu tidak memakai pelitup muka, 18 individu keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD dan 12 individu ditahan di kelab malam.

"Kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (11), premis beroperasi tanpa kebenaran (8), kesalahan penjarakan fizikal (3), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (3),” katanya.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 42 pendatang tanpa izin, dua tekong dan dua penyeludup ditahan selain rampasan sembilan kenderaan darat.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, seramai 34,027 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas dan ditempatkan di 65 hotel dan sembilan premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, 7,593 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 103 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 26,331 individu didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Ismail Sabri berkata, hingga hari ini, sebanyak 268 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung berita palsu berkaitan Covid-19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!