Inspektor mengaku terima rasuah didenda RM6,000

Shahrol Zaman (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.
Shahrol Zaman (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Seorang inspektor polis didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan wang tunai enam tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru juga memerintahkan tertuduh, Shahrol Zaman Mohd Adom, 38, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dipenjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, pegawai terbabit didakwa menerima wang tunai RM3,000 dengan tiada balasan daripada seorang lelaki, Choong Kim Weng melalui mesin deposit wang ke dalam akaun miliknya di sebuah bank dalam daerah Kinta jam 12.01 tengah hari pada 14 Mei 2014.

Suapan itu didakwa ada kena mengena dengan urusan rasmi tertuduh sebagai pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menyiasat Kim Weng dan teman wanitanya warga China, Wu Jing membabitkan kesalahan Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin sementara tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Pada prosiding sama, mahkamah turut melepas dan membebaskan tertuduh daripada tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM3,000 daripada Choong Kim Weng sebagai dorongan membebaskan lelaki dan wanita terbabit atas kes yang sama.

Dua daripada kesalahan itu dilakukan tertuduh di IPD Ipoh antara jam 2.10 hingga 5 petang dan satu lagi di Maybank Cawangan Kuala Pilah, Negeri Sembilan melalui pindaan wang telegrafik ke dalam akaun pada jam 6.49 petang pada 8 Mei 2014.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohd Shahrullah merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman denda rendah dengan alasan perlu menyara keluarga termasuk anak kembar perempuan berusia 12 tahun dan ibu bapa mentua yang tidak bekerja.

"Tertuduh yang bertugas sebagai barisan hadapan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu juga insaf dan berjanji untuk tidak melakukan apa-apa kesalahan pada masa akan datang," katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda RM6,000 atau penjara empat bulan jika gagal bayar dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan melucut hak wang RM6,000 milik tertuduh kepada kerajaan Malaysia.