Makmal haram diserbu, pakar proses dadah ditahan

Suspek dipercayai menggunakan senjata api sebagai mempertahankan diri.
Suspek dipercayai menggunakan senjata api sebagai mempertahankan diri.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menyerbu sebuah kondominium di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah (SPT) dan merampas dadah jenis heroin serta syabu bernilai RM587,000 pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, polis juga menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai mahir memproses dadah selepas menyerbu kediaman yang dijadikan makmal mini memproses dadah itu pada jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, turut dirampas adalah sepucuk pistol jenis CZ 75D Compact, kelopak, sarung pistol serta 43 butir peluru hidup.

"Hasil serbuan, kita merampas 17,155 gram heroin; 8,670 gram syabu; 15,100 gram serbuk kafein, 15 botol cecair kimia dan peralatan memproses dadah jenis heroin. Dadah ini boleh digunakan oleh 86,238 penagih.

"Kita turut menyita sebuah Toyota Velfire bernilai RM228,000 dan beberapa barang kemas bernilai RM32,895. Jumlah keseluruhan nilai dadah dan sitaan adalah RM847,895," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, lelaki tersebut dipercayai mempunyai kepakaran dalam memproses dadah untuk dijual di sekitar Pulau Pinang.

"Selepas sejam penahanan suspek pertama, kita menahan dua lagi lelaki berusia 24 dan 26 tahun di kawasan Perai yang dipercayai ahli sindiket memproses dadah yang sama.

"Kesemua suspek tidak bekerja dan dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu dengan menyewa kondominium tersebut untuk dijadikan makmal mini memproses dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mustafa Kamal (tengah) menunjukkan dadah dan senjata api yang dirampas dari suspek.
Mustafa Kamal (tengah) menunjukkan dadah dan senjata api yang dirampas dari suspek.

Mustafa Kamal berkata, senjata api itu dipercayai untuk mempertahankan diri namun siasatan masih dijalankan sama ada sindiket tersebut turut terlibat dalam jenayah lain.

"Suspek pertama mempunyai dua rekod dadah manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod lampau. Sementara suspek ketiga mempunyai dua rekod iaitu dadah dan jenayah.

"Ujian saringan air kencing mereka juga positif dadah. Suspek pertama dan kedua direman sehingga 28 September manakala suspek ketiga ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat 1971) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Dalam perkembangan lain, Mustafa Kamal berkata, JSJN Pulau Pinang berjaya menahan 7,902 orang sepanjang tahun ini sehingga 22 September lalu.

Menurutnya, dalam tempoh sama, pihaknya merampas 863.66 kilogram (kg) dadah tradisional dan sintetik.

"Selain itu, kita berjaya merampas 67,578 pil ekstasi dan pil psikotropik, 6,951.9 liter cecair ketum dan kodein, empat batang pokok ganja dan 974.65 kg daun ketum.

"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas sepanjang tempoh sembilan bulan ini adalah RM9.8 juta dan mampu menampung 2.23 juta penagih," katanya.