Kenyataan Zahid bersandarkan realiti, kata Nur Jazlan

NUR JAZLAN
NUR JAZLAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamad menyifatkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau tidak boleh menghalang ahli Parlimen parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baharu adalah bersandarkan realiti politik dalam negara ketika ini.

Menurutnya, dalam situasi politik hari ini, kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan bukan perdana menteri menyukarkan beliau untuk melarang mana-mana ahli Parlimen membuat keputusan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk dengan gabungan individu, bukannya parti.

“Saya berpendapat Dr Ahmad Zahid hanya menyatakan realiti dalam politik negara ketika ini, di mana beliau tiada kuasa mutlak untuk mengawal ahli-ahli Parlimen UMNO kerana dia bukan Perdana Menteri.

“Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun tak mampu nak mengawal tingkah laku ahli-ahli Parlimen di bawah beliau, apatah lagi Ahmad Zahid.

"Kita kena melihat senario politik Malaysia secara menyeluruh dan bukannya satu arah sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kelmarin Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, kata beliau, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen PN.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, seperti yang sering kali beliau perkatakan sebelum ini, penyelesaian terbaik untuk mengakhiri episod-episod tegang dalam politik negara adalah melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keadaan politik ketika ini tidak banyak memberi kelebihan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN kerana ia bukan sebuah kerajaan yang kukuh dan boleh tergugat pada bila-bila masa.

“Banyak kali saya sudah cakap, bubar Parlimen kita buat PRU15 untuk selesaikan segala kemelut politik yang berlanjutan sejak awal tahun ini.

“Kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin ini sangat goyah sebab itulah macam-macam ancaman boleh dibuat oleh pihak pembangkang dan itulah yang dibuat oleh Anwar kelmarin.

“Walaupun mungkin kita boleh anggap sidang media oleh Anwar hanya satu gimik tapi ia membuktikan sesiapa pun boleh cuba menggugat kerajaan yang lemah,” katanya.

Nur Jazlan percaya, jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat Muafakat Nasional dan BN boleh membentuk sebuah kerajaan yang kukuh serta stabil sehingga pihak pembangkang tidak boleh lagi membuat sebarang onar.

“Dengan keutuhan kerjasama UMNO, Pas dan parti-parti komponen dalam BN, saya percaya kita boleh menang dengan majoriti lebih besar pada PRU15 nanti.

“Bila sudah ada majoriti besar, maka kita boleh membentuk sebuah kerajaan yang kuat. Masa itu tidak ada sesiapa pun boleh sewenang-wenangnya membuat kacau macam yang dihadapi kerajaan PN hari ini,” ujarnya.