Penguat kuasa KPDNHEP didakwa terima rasuah RM8,000

Tertuduh Shaikhul Athar Abdullah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dua pertuduhan bersetuju dan menerima rasuah RM8,000.
Tertuduh Shaikhul Athar Abdullah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dua pertuduhan bersetuju dan menerima rasuah RM8,000.
A
A
A

IPOH - Seorang pembantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan bersetuju dan menerima rasuah bernilai RM8,000, tiga tahun lepas.

Tertuduh, Shaikhul Athar Abdullah, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, S Indra Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, Shaikhul Athar sebagai pembantu penguat kuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Ipoh telah secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM8,000 daripada pemilik pusat hiburan Fan Kar Weng di dalam kereta Mercedes Benz di kawasan parkir sebuah restoran di Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh jam lebih kurang 10.30 malam pada 30 Mei 2017.

Suapan itu didakwa sebagai upah untuk menutup kes yang telah disiasat KPDNKK pada 2014 bagi kesalahan menjual arak tiruan di dua premis milik Far Kar Weng di Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM8,000 daripada individu yang sama sebagai dorongan menutup kes yang sama di Greentown, Ipoh jam lebih kurang 8.53 malam pada 23 Mei 2017.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM dan dokumen perjalanan diserahkan kepada SPRM.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Datuk Amirul Ridzuan Hanif yang mewakili tertuduh bagaimanapun meminta wang jaminan dikurangkan dengan alasan bahawa tertuduh yang masih berkhidmat dengan KPDNHEP mempunyai komitmen keluarga menanggung isteri dan dua anak serta ibu yang uzur.

Tertuduh yang merupakan anak tunggal juga perlu dijamin bagi membolehkan menguruskan hal kematian ayahnya yang meninggal dunia akibat kanser, semalam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 4 November depan.

Shaikhul Athar juga diperintahkan menyerahkan dokumen perjalanan dan melapor diri kepada SPRM sebulan sekali di Pejabat SPRM terdekat.