YaPEIM sasar lebih 10 cawangan tawar khidmat EBB

Mohd Muazzam (kiri) dan Parihah (kanan) pada Majlis Menandatangani MoU antara YaPEIM dan BIMB. Turut sama Zulkifli (tengah) dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (kanan) dan Pengerusi BIMB, Tan Sri Ismail Bakar (dua dari kiri). - FOTO ROSLI TALIB
Mohd Muazzam (kiri) dan Parihah (kanan) pada Majlis Menandatangani MoU antara YaPEIM dan BIMB. Turut sama Zulkifli (tengah) dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (kanan) dan Pengerusi BIMB, Tan Sri Ismail Bakar (dua dari kiri). - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang dilantik oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai Ejen Bank Berdaftar (EBB) mensasarkan lebih 10 daripada 230 cawangan Ar Rahnu menawarkan perkhidmatan itu menjelang akhir tahun ini.

Pemangku Ketua Pengarah Yapiem, Parihah Hasan berkata, buat permulaan sebanyak lima cawangan Ar Rahnu menawarkan perkhidmatan perbankan asas iaitu penyimpanan, pengeluaran dan tambah nilai rangkaian telekomunikasi.

Menurutnya, perkhidmatan itu disediakan di cawangan di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Terengganu.

“YaPEIM juga bersedia untuk memperluaskan perkhidmatan EBB ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, bagaimanapun ia tertakluk kepada kelulusan Bank Negara kepada BIMB.

“Perkhidmatan Ar Rahnu YaPEIM memerlukan sokongan institusi kewangan bagi pelaksanaan program ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik bersama BIMB di sini kelmarin.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamad.

Sementara itu, Mohd Muazzam berkata, pihaknya akan menambah lagi perkhidmatan untuk diberikan kepada YaPEIM sekaligus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“EBB merupakan projek rintis dan insya-ALLAH kita akan kembangkan kerana kami juga mempunyai agenda mendekati golongan yang sukar untuk mendapatkan perkhidmatan BIMB,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun mempunyai 144 cawangan di seluruh negara, tetapi masih ada beberapa lokasi yang sukar untuk pelanggan mendapat perkhidmatan di BIMB.

“Dari situlah kita dapat gunakan banyak cawangan Ar Rahnu bagi membolehkan pelanggan melakukan transaksi bank.

“Transaksi di Ar Rahnu sama seperti anda melakukannya di bank,” katanya.