X

Kindly register in order to view this article
!

K·FISH sasar luaskan pasaran makanan laut Korea di Malaysia

Chef Shin ketika menyediakan Fire Fish Cake Kimbab pada program berkenaan yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.- FOTO ROSLI TALIB
A
A

KUALA LUMPUR - Korea Seafood Trade Support Centre (Kuala Lumpur) di bawah jenama K·FISH Korean Seafood (K·FISH) menyasarkan untuk meluaskan pasaran dan mempromosikan pelbagai jenis produk makanan laut Korea dalam pasaran Malaysia.

Pengarah Urusannya, Lee Dong Jun berkata, pihaknya proaktif mengadakan pelbagai strategi promosi untuk mengukuhkan pasaran produk makanan laut Korea dalam pasaran tempatan bagi memenuhi permintaan masyarakat Malaysia menggemari makanan Korea.

Menurutnya, pihaknya mengambil inisiatif berkolaboratif bersama aT dari Korea Selatan dengan menganjurkan Projek Penyokong Dalam Talian (online) K-Foodies untuk mempromosikan produk makanan laut dan pertanian Korea.

“Seramai 20 penduduk tempatan yang merupakan pencinta budaya Korea dipilih menyertai projek ini untuk membantu memberikan kesedaran mengenai produk tertentu melalui media sosial mereka.

“Projek ini juga bertujuan menyebarkan maklumat mengenai produk makanan laut Korea melalui perspektif orang tempatan. Ia telah dilaksanakan sejak Julai lalu dan mendapat sambutan yang memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perjumpaan bulanan yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

Dong Jun
Dong Jun

Pada perjumpaan itu, K·FISH menyediakan pelbagai aktiviti termasuk berkongsi makanan terkenal Korea, Eomuk iaitu kek ikan dan sesi demonstrasi memasak ‘Fire Fish Cake Kimbab’ dan Seaweed Ramen.

Dong Jun berkata, pihaknya memperkenalkan Eomuk kerana ia merupakan makanan biasa yang popular di Korea Selatan dan tekstur Eomuk Korea juga berbeza dengan produk kek ikan yang ada di Malaysia.

“Eomuk mempunyai sebanyak 85 hingga 90 peratus daging ikan berkualiti dan boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan,” katanya.

Tambahnya, kesemua peserta projek itu perlu menggunakan eomuk dan diberikan dengan pelbagai sos untuk menyediakan masakan Korea dan perlu berkongsi di platform media sosial mereka.

Turut diadakan sempena program itu ialah penyampaian hadiah kepada pemenang September bagi program itu.

K·FISH adalah jenama eksport nasional oleh Kementerian Laut dan Perikanan Korea Selatan dan produk berlabel K·FISH adalah produk yang telah melalui pemeriksaan teliti oleh pemerintah Korea untuk memastikan produk yang dieksport dari Korea Selatan berkualiti dan selamat untuk dimakan.

K·FISH Kuala Lumpur Seafood Trade Support Center yang terletak di Kuala Lumpur adalah salah satu daripada 10 pusat sokongan di seluruh dunia yang bertujuan untuk membantu pengimport tempatan yang berminat dengan produk makanan laut Korea.

Dong Jun (dua dari kiri, belakang) bersama 20 peserta yang menyertai Projek Penyokong Online K.Foodies.
Dong Jun (dua dari kiri, belakang) bersama 20 peserta yang menyertai Projek Penyokong Online K.Foodies.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!