Umno, Pas bakal eratkan kerjasama

A
A

KEMENANGAN calon BN pada PRK Cameron Highlands membuktikan kerjasama antara Umno dengan Pas berhasil.

Ini diakui oleh penganalisis politik, Tan Ah Chai yang menjangkakan gabungan kedua-dua pembangkang tersebut akan diteruskan pada kempen PRK Semenyih yang bakal diadakan bulan depan.

Menurutnya, selain memilih calon daripada kalangan Orang Asli, Ramli Mohd Nor sebagai strategik yang tepat, kerjasama yang terjalin antara Umno dan Pas telah berjaya menerima sokongan padu daripada pengundi Melayu pada PRK Cameron Highlands.

“Melihat daripada keputusan PRK Cameron Highlands, undi yang diperoleh Pas pada PRU14 telah beralih kepada Umno. Saya percaya pada masa akan datang, sama ada dalam PRK ataupun PRU15, Umno dan Pas akan teruskan kerjasama ini, terutama sekali dari segi pembahagian kerusi,” kata Tan seperti yang dipetik dalam Sin Chew Daily.

Katanya lagi, dalam beberapa siri PRK lalu dan terkini hasil keputusan PRK Cameron Highlands ini menunjukkan formula gabungan Umno dan Pas ini cukup berkesan dan boleh diteruskan.

Mengenai PRK Semenyih, Tan berkata, PH mempunyai kelebihan memandangkan kedudukan Semenyih berada dalam negeri Selangor yang diterajui oleh PH sendiri.

“Jika dikaji keputusan PRU14, jumlah keseluruhan undi yang diterima oleh calon BN dan Pas masih gagal mengatasi jumlah undi calon PH. Bagaimanapun, perbezaan jumlah undi tidak banyak, iaitu lebih 2,000 undi sahaja,” katanya.

Tan berpendapat, PH seharusnya tidak boleh memandang ringan PRK Semenyih ini walaupun memiliki kelebihan ini.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang minggu lalu, Pas telah mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon dalam PRK Semenyih sebaliknya akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat untuk membantu BN menghadapi PRK ini.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pula yakin kerjasama secara terbuka antara Umno dan Pas dalam PRK Cameron Highlands akan memberikan tekanan kepada PH dalam usaha menarik sokongan daripada pengundi Melayu.

Beliau berkata, terjalinnya persahabatan antara Umno dan Pas dengan sendirinya akan mengubah struktur politik Malaysia, iaitu mewujudkan gabungan parti Melayu sekaligus meminggirkan kewujudkan dua parti komponen dalam BN, iaitu MCA dan MIC.

“Strategik yang dilakukan BN telah menyebabkan ia terpesong seperti apa yang diterajui ketika memerintah negara sejak sepanjang 60 tahun yang lalu.

“BN bukan lagi parti yang terdiri daripada parti-parti kompenan yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama. MCA dan MIC kini sudah tidak menjadi penting lagi dalam BN.

“Cara Umno untuk bekerjasama dengan Pas tidak mungkin akan membolehkan mereka mengambil alih semula pemerintahan negara kerana Malaysia masih perlu diperintah oleh parti-parti yang terdiri daripada berbilang kaum,” kata Liew kepada Oriental Daily.

Pas jadi pemenang mutlak

Walaupun Umno memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands, telah pemenang mutlaknya ialah Pas.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming ketika menganalisis keputusan PRK Cameron Highlands yang menyaksikan calon partinya kalah dalam pertandingan empat penjuru itu.

Menurutnya, pada PRU14, calon Pas memperoleh 3,587 undi dan pada PRK ini, boleh dikatakan undi Pas diberikan kepada calon BN sehingga memenangi dengan majoriti 3,238 undi.

“Bagaimanapun, apa yang didapati, jumlah undi BN tidak bertambah sebaliknya hanya bergantung kepada pengundi Pas. Ini bermakna yang menang sebenarnya bukanlah Umno tetapi adalah Pas,” kata Nga yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat seperti disiarkan dalam China Press.

Menurut Nga, sepanjang kempen PRK Cameron Highlands yng diadakan, apa yang lebih membimbangkan ialah BN terus memainkan sentimen isu perkauman tanpa menyediakan sebarang manifesto kepada rakyat.

“Kemungkinan selepas PRK Cameron Highlands, Umno dan Pas akan semakin bahaya kerana terus menggunakan isu perkauman sebagai modal mereka.

“Perbuatan ini tidak akan mendatangkan faedah kepada masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama,” kata Ahli Parlimen Teluk Intan ini.

Menurut Nga lagi, negara kita mungkin akan berada dalam kedudukan yang tidak menyenangkan apabila Umno dilihat terlalu bergantung kepada Pas untuk mendapatkan sokongan Melayu demi survival politik mereka.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.