Tambah baik bidang keselamatan untuk tarik belia

Musa bergambar dengan wakil SWISS dan MUSGA selepas mengadakan mesyuarat.
Musa bergambar dengan wakil SWISS dan MUSGA selepas mengadakan mesyuarat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penambahbaikan bidang kawalan keselamatan perlu bagi menarik lebih ramai golongan belia menceburi industri ini serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Pengerusi Persatuan Industri Keselamatan Selangor & Wilayah Persekutuan (SWISS), Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya sentiasa akan mengadakan nilai tambah kepada pekerja termasuk mengadakan pensijilan profesional dengan kolej tempatan.

“Ia sebagai pemangkin dalam meningkatkan kemahiran modal insan di bidang keselamatan dan menjamin peluang kerjaya kepada belia-belia di negara kita.

“Ketika jumlah pengangguran meningkat akibat impak Covid-19 ini, bidang sekurang-kurangnya dapat menarik penyertaan belia yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Pengawal Keselamatan Bersatu Malaysia (MUSGA).

MUSGA antara pertubuhan keselamatan yang menyokong usaha SWISS memberi nilai tambah kepada pekerja keselamatan bagi membawa transformasi yang diperlukan.

“SWISS bakal mengadakan pemindahan teknologi bagi merangsangkan transformasi digital sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.

“Pelaksanaan ini diyakini akan memanfaatkan pengawal-pengawal keselamatan sekaligus membolehkan mereka melengkapkan diri dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Tambah Musa, perancangan SWISS ini juga diyakini mampu menggalakkan inovasi dan transformasi teknologi, sekaligua ia akan membekalkan nafas baru kepada industri keselamatan yang selama ini lebih banyak bergantung kepada tenaga kerja kurang mahir.

Artikel Berkaitan: