PJ City tekad kekal saingan Liga Super musim depan

PJ City bertekad melakar keputusan positif dalam tiga baki perlawanan terakhir CIMB Liga Super musim ini. - Foto FB PJ City
PJ City bertekad melakar keputusan positif dalam tiga baki perlawanan terakhir CIMB Liga Super musim ini. - Foto FB PJ City
A
A
A

PJ CITY FC tekad memberikan aksi terbaik dalam baki tiga perlawanan terakhir untuk memastikan misi kekal di CIMB Liga Super 2021 dapat direalisasikan.

Pengendalinya, K Devan berkata, beliau mengharapkan pemain dapat memberikan komitmen tinggi dalam usaha mencari mata dalam tiga perlawanan terakhir itu.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk terus kekal dalam saingan Liga Super. Sekarang ini pun kita kekurangan dari segi penyerang kerana salah seorang penyerang kita iaitu Demba Camara tidak bersama kita kerana sebelum ini dia pulang ke negaranya kerana menyelesaikan masalah peribadi dan tidak dapat balik ke sini semula.

“Sebab itu kita lakukan beberapa cara dengan membuat pertukaran posisi pemain dan dalam setiap perlawanan kita mengubah formasi untuk menyesuaikan dengan pasukan lawan sekali gus cuba mengutip mata,” katanya.

PJ City akan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dan PDRM dalam baki perlawanan terakhir mereka.

“Saya rasa kita masih ada peluang jika kita menang dua perlawanan daripada tiga perlawanan tersebut. Saya rasa dengan 13 mata kita boleh kekal di Liga Super.

“Namun, kita tidak memandang mudah dua perlawanan tersebut kerana UiTM dan PDRM bukanlah pasukan yang mudah untuk ditewaskan,” katanya.

Mengenai pertemuan menentang JDT esok, Devan memberikan jaminan PJ City akan beraksi sebaik mungkin untuk cuba meraih keputusan positif di Stadium MBPJ itu.

Artikel Berkaitan:

“Menentang JDT kita akan cuba apa yang kita boleh buat dan kita akan main mengikut kekuatan kita,” katanya.