Anwar perlu tunggu Sidang Parlimen

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media kelmarin. -Foto Bernama
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media kelmarin. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik dan pakar Perlembagaan Persekutuan menasihatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menunggu Dewan Rakyat bersidang pada 2 November depan sekiranya mahu mendakwa beliau mempunyai sokongan untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pensyarah Kanan Sains Politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, pemilihan Perdana Menteri menerusi proses Parlimen itu merupakan kaedah yang benar-benar mengikut lunas demokrasi berparlimen.

“Jalan terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan Anwar mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dari situ rakyat boleh melihat secara terus siapa yang mempunyai sokongan majoriti dan siapa yang tidak mempunyai sokongan mencukupi di Dewan Rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Kelmarin, Anwar pada satu sidang akhbar tergempar di Kuala Lumpur mendakwa beliau kini mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu, sekali gus membolehkan beliau mengusulkan dirinya sebagai Perdana Menteri kesembilan Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Ariff berkata, Anwar sepatutnya menyatakan jumlah sebenar majoriti sokongan yang diterima melalui proses Parlimen dan bukan membuat dakwaan yang samar-samar.

“Apa yang saya lihat, pengumuman itu dibuat tergesa-gesa (di luar Parlimen) sedangkan kita mahu mengelakkan berlakunya kekalutan politik," katanya.

Malah, katanya, tindakan membuat pengumuman awal juga hanya menimbulkan teka-teki dalam kalangan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berpandangan, jika Anwar mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau perlu membuktikan dakwaan tersebut mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, berpandukan proses perubahan beberapa kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahli Parlimen Port Dickson itu boleh membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau memiliki cukup sokongan sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Sehingga sekarang masih terlalu awal untuk membuat jangkaan sama ada Anwar betul-betul memiliki majoriti sokongan tersebut.

“Namun semalam (kelmarin) Istana Negara telah membuat kenyataan bahawa Anwar memang ada memohon untuk menghadap Seri Paduka Baginda.

“Majlis menghadap tersebut ditangguhkan atas masalah kegeringan Tuanku. Perkataan ditangguhkan itu sendiri seperti membawa maksud majlis menghadap akan diadakan apabila Tuanku kembali sihat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Menurut Dr Mohd Yusri, selain menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Anwar juga boleh menggunakan Dewan Rakyat untuk menunjukkan beliau cukup sokongan, sekali gus membuktikan Muhyiddin telah kehilangan majoriti.

“Ini boleh dibuat melalui undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, tetapi saya pesimis terhadap kaedah ini. Speaker Dewan Rakyat mungkin tidak akan membenarkan ia dibahaskan.

“Jika Anwar mengusulkan undi tidak percaya, saya jangkakan usul persendirian tersebut tidak akan mendapat keutamaan untuk dibahaskan,” katanya.

Menurutnya, perkara itu terbukti melalui usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dicadangkan Perdana Menteri ketujuh iaitu Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, sekiranya Anwar boleh bersabar, beliau sepatutnya menunggu berlangsungnya Sidang Parlimen pada 2 November depan.

Proses melalui sidang itu, katanya, dapat membuktikan secara jelas bentuk sokongan yang didakwa dan tidak akan timbul persepsi negatif kerana membelakangkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam konteks negara kita yang mempunyai Raja Berperlembagaan iaitu Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara, Anwar sepatutnya memberikan penghormatan kepada Seri Paduka Baginda.

“Ia perlu dibuat dengan cara berunding dan berbincang secara menghadap Seri Paduka sebelum membuat apa-apa pengumuman yang memberi kesan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.