Penggodam Malaysia bertaraf dunia

No Image Caption
A
A
A

NAMA dua rakyat Malaysia jadi sebutan hangat dalam dunia kancah penggodam siber dunia minggu lalu. Dua rakyat Malaysia itu dikenal pasti penggodam yang berpaksi kepada ransomware. Ransomware ialah sejenis perisian berniat jahat yang mampu menjangkiti komputer dan menyekat akses kepada penggunanya. Hanya selepas wang tebusan dibayar, barulah sistem kembali berfungsi.

Kegiatan dua rakyat Malaysia bersama lima warganegara China dikesan Pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) berpangkalan di Washington DC. Laporan itu menyebut Jabatan Kehakiman Amerika akan mendakwa warganegara China dan Malaysia melakukan operasi sulit menggodam kerana identiti teknologi permainan video, memasang ransomware atau perisian tebusan dan mengintip aktivis Hong Kong. Paling menarik, kegiatan tersebut telah berlarutan lebih enam tahun.

Penggodam tersebut yang menggunakan kod operasi APT 404 didakwa beroperasi bertopengkan sebuah syarikat di Sichuan, China dan Putrajaya, Malaysia. Bermuslihatkan taktik menawar perkhidmatan keselamatan rangkaian perniagaan dalam talian, sindiket berkenaan menggodam komputer dimiliki beratus syarikat dan penganjur di seluruh dunia bertujuan mengumpul identiti dan mengguna ribuan komputer dari jarak jauh untuk merampas pelbagai transaksi dalam talian.

Laporan dari AS itu juga menyebut warganegara China itu yang beroperasi dalam sindiket pernah bekerja dengan syarikat China, Chengdu 404. Mereka ialah penggodam pakar dan pekerja semasa atau mantan Chengdu 404 Network Technology, sebuah syarikat mengaku menyediakan perkhidmatan penggodaman ‘topi putih’ yang sah bagi mengesan kerentanan dalam rangkaian komputer pelanggan.

AS sehingga kini percaya China mempunyai penggodam terbaik dan terbesar di dunia. Perangkaan terbaharu juga percaya 41 peratus serangan siber dunia berasal dari China.

AS juga menuduh warga China dan Malaysia itu melakukan pengubahan wang haram dan melakukan serangan rantaian bekalan bagi mendapatkan akses tanpa izin ke rangkaian di seluruh dunia.

ALLAH SWT sebenarnya telah memberi amaran tentang penggodam siber dalam Surah Ali-'Imran ayat 112 bermaksud: “Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) ALLAH dan tali (perjanjian) dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan daripada ALLAH dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat ALLAH dan membunuh para Nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui batas.”

Jelas sekali jenayah siber sukar dibendung. Sekalipun Malaysia memiliki beberapa akta yang kukuh seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun penggodam masih berleluasa.

Artikel Berkaitan:

Menyelusuri kes sindiket ini, penulis mendapati APT41 mengumpulkan maklumat tentang tokoh pro-demokrasi di Hong Kong dan seorang sami Buddha dari Tibet. Salah seorang penggodam, Jiang Lizhi, beroperasi menggunakan alias ‘Blackfox’, dipercayai bekerja untuk kumpulan penggodam yang rapat dengan Kementerian Keselamatan Negara China.

Apa yang jelas lima penggodam China itu masih bebas. Justeru, penulis berharap kerajaan Malaysia akan terus menyokong usaha FBI dan beberapa syarikat swasta seperti Microsoft yang berusaha menyekat penggodam berkenaan daripada mengguna akaun dalam talian mereka. Penulis percaya sindiket ini memilih sasaran di luar Malaysia dan China kerana yakin penguatkuasaan undang-undang tidak akan dapat mengejarnya melintasi sempadan.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor