UiTM FC beri jaminan tak langgar 30 September

UiTM FC antara pasukan yang mewarnai saingan Liga Malaysia musim ini. -Foto: UiTM FC
UiTM FC antara pasukan yang mewarnai saingan Liga Malaysia musim ini. -Foto: UiTM FC
A
A
A

UiTM FC memberi jaminan akan melengkapkan proses penswastaan kelab bola sepak (FC) masing-masing yang turut merangkumi proses pemisahan dari persatuan bola sepak (FA) ke FC menjelang tarikh akhir yang ditetapkan pada 30 September ini.

Menurut Setiausaha Agung UiTM FC, Mustaza Ahmad, pihaknya optimis akan dapat menyelesaikan proses itu seperti yang ditetapkan badan induk bola sepak negara berkenaan.

"Apa yang boleh saya kongsikan setakat hari ini proses penswastaan UiTM FC hampir selesai kerana kami hanya tinggal dua lagi proses yang mudah. Insya-ALLAH, UiTM FC akan hantar ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin depan. Doakan moga dipermudahkan segala urusan kami," katanya yang juga pengurus The Lions kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, PDRM FA, UiTM FC dan UKM FC masih berada dalam peringkat awal proses penswastaan FC.

Katanya, pihaknya sudah pun mengeluarkan surat peringatan terakhir kepada ketiga-tiga pasukan-pasukan berkenaan untuk menyelesaikan segera proses mengikut tarikh ditetapkan FAM.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, pasukan-pasukan yang berkenaan tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) jika layak, serta juga pertandingan domestik iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier 2021.

"Ingin ditekankan di sini bawah tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September tidak boleh dianjakkan lagi dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera daripada pengurusan dan pegawai pasukan-pasukan ini bagi melengkapkan juga proses penswastaan FC ini," katanya.

Artikel Berkaitan: