X

Kindly register in order to view this article
!

Peristiwa Lahad Datu: Pihak berkuasa digesa percepat siasatan

Musa Hassan
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa pihak berkuasa mempercepat siasatan dan mengambil tindakan terhadap bekas menteri yang mendakwa peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 2013 itu sebagai satu ‘sandiwara.’

Beliau berkata, ini kerana dakwaan sedemikian ibarat menghina pasukan keselamatan yang mempertahan negara dalam peristiwa itu dan sebagai pengajaran agar tidak ada lagi pihak yang ‘cuba-cuba’ melakukan kesalahan sama.

Bekas KPN kelapan itu turut berasa sedih dengan dakwaan bekas menteri berkenaan kerana anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi tersebut amat berjasa sehingga sanggup ‘menyerahkan’ jiwa dan raga demi menjaga kedaulatan serta keamanan negara.

“Saya harap tiada siapa-siapa lagi akan memperlekeh tindakan pasukan keselamatan yang menjaga keamanan dan keselamatan negara ini sejak ancaman komunis.

“Saya juga harap jangan politikkan (peristiwa di Lahad Datu). Mereka (anggota keselamatan yang terkorban) ada waris yang masih hidup dan akan terkesan dengan kenyataan seperti itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Musa juga berkata, bekas menteri itu sepatutnya sedar bahawa jika bukan pasukan keselamatan yang sentiasa berwaspada menjaga keamanan serta kedaulatan negara, semua pihak pastinya tidak boleh tidur dengan lena.

Beliau turut mengingatkan bahawa tidak ada sesiapa yang ‘kebal’ daripada dikenakan tindakan undang-undang walaupun terlibat dengan politik kerana perbuatan ‘menghina’ pasukan keselamatan boleh diambil tindakan mengikut Akta Polis atau peruntukan di bawah Kanun Keseksaan.

Baru-baru ini, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dilaporkan mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 adalah satu 'sandiwara' ketika berucap dalam kempen untuk calon Warisan pada Pilihan Raya Negeri Sabah.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sebanyak 72 laporan diterima pihaknya berhubung dakwaan Mohamaddin, yang juga calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Segama. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!