X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah tunggu MKN putuskan tamat, lanjut PKPD Kota Setar

Fasa PKPD Pentadbiran Kota Setar yang diumumkan selama dua minggu sepatutnya akan tamat tengah malam esok.
A
A

ALOR SETAR - Keputusan sama ada menamatkan, melanjutkan atau melanjutkan secara bersasar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar yang akan tamat pada 25 September ini bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Besar Kedah,Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan berhubung perkara itu kepada MKN tetapi ia tidak boleh didedahkan.

Beliau berkata, pihaknya hanya boleh memberi cadangan dan semua keputusan berhubung PKPD di Kota Setar adalah di bawah bidang kuasa MKN.

"Fasa PKPD Pentadbiran Kota Setar yang diumumkan selama dua minggu akan tamat tengah malam esok, kita telah kemukakan beberapa cadangan kepada MKN untuk membuat keputusan.

"Sama ada dilanjutkan, ditamatkan atau dilanjutkan secara bersasar kita serahkan kepada MKN, ia adalah rahsia," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) berkaitan Covid-19 di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Setar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, beliau yakin MKN dan kerajaan Persekutuan akan mengambil kira semua faktor yang ada di Kedah sebelum membuat sebarang keputusan

Ketika diminta mengulas bantuan bekalan makanan untuk penduduk PKPD Pentadbiran Kota Setar, beliau berkata, sebanyak 6,500 bekalan makanan diagihkan kepada penduduk yang menghubungi talian hotline PKOB.

"Selain itu,kita juga telah mengagihkan bekalan makanan kepada 88 rumah di Flat Tongkang Yard, Seberang, di sini yang ditutup semalam berikutan penularan koronavirus (Covid-19), manakala bantuan lain seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran akan disalurkan kemudian," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!