Parti politik pembangkang Arab Saudi ditubuhkan

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini tidak pernah bertoleransi dengan mana-mana parti politik pembangkang. - Foto AFP
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini tidak pernah bertoleransi dengan mana-mana parti politik pembangkang. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Sekumpulan individu penentang pemerintahan Arab Saudi yang hidup di negara-negara asing termasuk Britain dan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan semalam penubuhan sebuah parti politik pembangkang.

Ia merupakan parti politik penentang yang dikendalikan secara teratur dan pertama ditubuhkan semasa pemerintahan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Arab Saudi merupakan negara berpemerintahan diraja mutlak yang tidak bertoleransi dengan mana-mana parti politik pembangkang.

Namun, penubuhan Parti Perhimpunan Kebangsaan pada sambutan hari kebangsaan negara tersebut dibuat ketika berlakunya peningkatan memerangi golongan penentang.

"Kami dengan ini mengumumkan penubuhan Parti Perhimpunan Kebangsaan dengan sasaran untuk menginstitusikan demokrasi sebagai salah satu bentuk kerajaan di negara beraja Arab Saudi," kata kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan.

Parti itu diketuai oleh aktivis hak asasi manusia yang berpangkalan di London, Yahya Assiri dan anggota-anggotanya terdiri daripada seorang ahli akademik, Madawi al-Rasheed, seorang penyelidik iaitu Saeed bin Nasser al-Ghamdi, Abdullah Alaoudh menetap di AS dan Omar Abdulaziz yang berpangkalan di Kanada, kata satu sumber rapat kepada AFP.

Assiri iaitu bekas pegawai Tentera Udara Diraja Arab Saudi sebelum ini menubuhkan pertubuhan hak asasi manusia yang beribu pejabat di London dikenali sebagai ALQST.

Setakat ini tiada reaksi daripada pihak berkuasa Arab Saudi berhubung perkara itu. - AFP

Artikel Berkaitan: