PRN Sabah: Christina serah mandat kepada rakyat

Christina Liew
Christina Liew
A
A
A

KOTA KINABALU - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api Datuk Christina Liew mengembalikan sepenuhnya kuasa dan mandat kepada seramai 19,149 pengundi di kawasan itu untuk memilih wakil rakyat yang sesuai dengan aspirasi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beliau sentiasa terbuka untuk menerima apa sahaja keputusan rakyat di DUN Api-Api pada pilihan raya kali ini, yang dilaksanakan bagi memilih wakil rakyat untuk penggal berikutnya.

"Pilihan raya kali ini luar biasa. Cabaran cukup berat, tetapi saya melakukan yang terbaik. Saya percaya rakyat yang mengundi di DUN Api-Api tahu siapa yang mereka mahukan untuk menjadi wakil rakyat mereka.

"Apa yang saya lakukan ialah terus rajin berkempen. Saya mengembalikan keputusan kepada rakyat supaya saya tahu apa yang mereka mahu. Saya terima apa sahaja keputusan," katanya kepada Bernama.

Pengerusi PKR Sabah itu berdepan beberapa pemimpin utama parti di negeri tersebut dalam persaingan sembilan penjuru untuk mempertahan kerusi berkenaan.

Christina dicabar oleh Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, Timbalan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Pang Yuk Min dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Yee Moh Chai selain calon daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah Chong Tze Kuin, Lo Yau Foh (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) serta tiga calon Bebas iaitu Sim Sie Hong, Ng Chun Sua dan Marcel Jude.

Sepanjang berkempen bermula 12 September lalu, Christina melihat momentum para pengundi khususnya di DUN Api-Api sangat baik dan menurutnya, rakyat benar-benar mahukan perubahan.

"Saya boleh melihat rakyat Sabah khususnya di DUN Api-Api... Kota Kinabalu, tidak sabar untuk mengundi,” katanya yang menyandang kerusi DUN Api-Api sejak 2013.

Artikel Berkaitan:

Christina berkata, beliau akan melaksanakan pelan tindakan bagi mengindahkan landskap Kota Kinabalu, yang juga pintu masuk ke Sabah, termasuk menaik taraf pusat bandar raya, pembangunan taman awam dan mencantikkan pekan kecil sekitar daerah itu sekiranya terpilih sekali lagi sebagai wakil rakyat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu komited untuk terus memperjuang aspek pemuliharaan hidupan liar dan konservasi alam sekitar jika terus diberi mandat sebagai wakil rakyat pada pilihan raya kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Christina, 69, memperoleh 8,174 undi dengan majoriti 2,954 undi menewaskan Yee Moh Chai (5,220), Lim Kat Chung dari SAPP (598), Land Lip Fong dari Anak Negeri (244) dan calon Bebas Dr Chan Chee Ching (94 undi). - Bernama