X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya 1.8 juta respons e-Census

Mohd Uzir
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya 1.8 juta rakyat Malaysia telah mengisi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census sejak dilaksanakan pada 7 Julai lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu adalah rendah iaitu masih di bawah sasaran 30 peratus atau kira-kira sembilan juta daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk Malaysia.

Namun, beliau berharap jumlah itu akan terus meningkat walaupun mengakui sukar untuk mencapai sasaran awal.

“Jadi (e-Census) kemungkinan rendah daripada yang disasarkan dan perkara ini juga dijangkakan, sebab banci ini adalah proses yang sinonim bahawa orang akan melawat ke rumah. Kalau menyatakan ia perlu diisi secara dalam talian, perkara itu agak tidak biasa.

“(Tetapi) semalam (kelmarin) kami telah dapat peningkatan lebih 100,000 bancian. Pada peringkat akhir ini memang orang Malaysia akan buat dan kami jangka ia meningkat walaupun mungkin sasaran 30 peratus itu sukar dicapai,” katanya selepas menjadi tetamu program Temu Bual Radio anjuran Bernama Radio yang bertajuk ‘Banci dan Kesihatan’.

Mohd Uzir yang merupakan Pesuruhjaya Banci 2020 berkata, daripada jumlah banci yang diterima setakat ini, beberapa negeri menunjukkan peningkatan iaitu Putrajaya lebih 40 peratus, manakala Perak melebihi 10 peratus dan Johor kira-kira lapan peratus.

"Bagaimanapun, negeri di pantai timur Semenanjung seperti Kelantan dan Terengganu masih lagi rendah kira-kira dua peratus," katanya.

Fasa pertama Banci 2020 atau e-Census kini dijalankan secara dalam talian dari 7 hingga 30 September, diikuti fasa kedua yang akan dijalankan secara bersemuka oleh pembanci dari 7 hingga 24 Oktober.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, setiap pembanci akan melawat 100 rumah sepanjang tempoh bancian fasa kedua dengan purata kira-kira lapan rumah sehari.

“Dalam sistem, kami boleh lihat rumah mana yang telah menghantar e-Census tidak akan dilawati sebab sudah ada dalam sistem. Jadi kami akan pergi ke rumah yang belum dibanci," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!