AADK sasar turun jumlah zon merah dadah tahun ini

Zulkifli (depan; empat, kiri) bersama wakil polis, NGO dan ikon yang berjaya pulih daripada masalah dadah.
Zulkifli (depan; empat, kiri) bersama wakil polis, NGO dan ikon yang berjaya pulih daripada masalah dadah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan untuk mengurangkan 87 kawasan berisiko tinggi dadah berstatus merah kepada hanya 28 menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, AADK telah mengenalpasti 178 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara dan telah berjaya menurunkan kawasan merah kepada 87 lokasi pada hujung tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan itu hasil kerjasama semua pihak dan optimis, sasaran itu mampu dicapai.

"Daripada jumlah tersebut, 86 lokasi diturunkan status menjadi zon kuning manakala 5 lagi menjadi zon hijau.

"Tahun ini kita sasar untuk turunkan kepada 28 zon merah, 117 zon kuning dan 33 zon hijau. Usaha pemutihan ini akan dilakukan dengan lebih berfokus berbanding secara menyeluruh yang tidak begitu meninggalkan kesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Semurni Kasih Ketua Pengarah AADK Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, malam tadi.

Zulkifli Abdullah
Zulkifli Abdullah

Turut hadir, pemangku Pengarah AADK Terengganu, Wan Jailani Wan Ismail; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Tahir; Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan dan Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman.

Artikel Berkaitan:

Klasifikasi zon merah merujuk kepada sesebuah daerah yang mempunyai kriteria kes dadah melebihi 70 peratus, zon kuning 0.5 hingga 30 peratus manakala zon hijau, kurang daripada 0.5 peratus.

Jelas Zulkifli, kawasan kelompok paling tinggi yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah ialah kawasan perumahan rakyat, perladangan dan kawasan nelayan.

"Ini adalah masalah sosial yang tidak dapat diselesaikan oleh agensi sebagaimana AADK, jadi kita perlukan sokongan daripada jabatan-jabatan kerajaan yang lain, NGO serta syarikat korporat yang boleh memberi peluang pekerjaan agar mereka dapat meneruskan hidup dan terus berada dalam masyarakat.

"Terdapat 160,000 kes dadah di seluruh negara dan 30,000 daripadanya melibatkan penagih," katanya.

Katanya lagi, selain pendedahan dan pencegahan awal di peringkat sekolah, penagih yang terlibat perlu dibantu dengan menerapkan nilai kerohanian agama yang tinggi agar kepulihannya berkekalan.