Semua Ahli Parlimen Bersatu teguh bersama Muhyiddin

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan semua Ahli Parlimen mereka kekal memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui negara.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Ahli Parlimen Bersatu menyifatkan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu sebagai satu lagi gimik politik.

Malah katanya, tindakan ketua pembangkang itu juga dilihat cuba mensabotaj ekonomi negara dengan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kerajaan.

"Ia dilihat tidak lebih daripada percubaan untuk mengucar-kacirkan kepimpinan negara tatkala rakyat semakin yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin untuk menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Perbuatan ini sama sekali tidak baik kepada ekonomi negara tatkala kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat dan membantu komuniti perniagaan untuk terus kekal berdaya saing dalam tempoh yang amat mencabar ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kesemua wakil rakyat Bersatu menaruh keyakinan penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam membela nasib rakyat dan menjana semula ekonomi negara yang amat terkesan akibat pandemik tersebut sejak enam bulan lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mencabar Anwar supaya membuktikan dakwaan memiliki majoriti membentuk kerajaan baharu itu mengikut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut meminta semua rakyat agar kekal bertenang dan terus memberikan sokongan kepada Muhyiddin serta kepimpinan kerajaan untuk terus menumpukan perhatian kepada urusan pentadbiran negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

Artikel Berkaitan:

Semalam, Anwar mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.