Ahli Parlimen Parit nafi sokong Anwar seperti senarai tular

Mohd Nizar Zakaria
Mohd Nizar Zakaria
A
A
A

IPOH - Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria menafikan beliau memberi sokongan terhadap pembentukan kerajaan baharu di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti senarai nama 19 wakil rakyat UMNO yang tular hari ini.

Beliau berkata, pihaknya langsung tidak tahu menahu sokongan itu dan hanya mengetahui kewujudan senarai berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp pagi tadi.

"Geli hati dan nak ketawa bila melihat nama tersenarai bersama pimpinan yang hebat-hebat, sedangkan saya bukan menteri, tambahan pula memang tak pernah terdetik pun untuk beri sokongan kepada beliau apatah lagi dengan adanya DAP.

"Jadi apa yang boleh saya katakan semua ini cerita karut yang sengaja direka dan nampaknya memang Anwar sedang buat hal lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain Mohd Nizar, mesej tular terbabit turut menyenaraikan empat lagi Ahli Parlimen UMNO dari Perak iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas); Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak); Datuk Hasbullah Osman (Gerik) serta Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Nizar berkata, agenda dimainkan Presiden PKR itu secara tidak langsung memberi kesan kepada pergolakan politik antara parti dan kestabilan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Justeru katanya, sekiranya isu sama terus dimainkan, adalah lebih baik mandat kepimpinan kerajaan diserahkan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Umum (PRU).

"Jika keadaan tidak stabil seperti ini, pilihan terbaik adalah mengadakan PRU dengan segera, biar rakyat yang putuskan siapa lebih berhak menjadi kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan: