Anwar digesa dedah sokongan, ahli Parlimen berpaling tadah

Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mendedahkan jumlah sokongan diterima termasuk identiti ahli Parlimen dari UMNO yang berpaling tadah.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pengumuman Anwar yang mendakwa bakal membentuk kerajaan baharu semalam bukanlah perkara baru malah ia tidak mengejutkan.

"Propaganda seumpama itu sudah dilakukan Anwar berkali-kali. Ia pernah dilakukan pada April 2008, September 2008, Februari 2020 dan terbaru semalam, September 2020.

"Kalau betul sudah memperoleh sokongan hampir dua pertiga Dewan Rakyat, beritahu umum, berapa ahli Parlimen menyokong dan dedah siapa ahli Parlimen dari UMNO berpaling tadah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Presiden PKR itu sepatutnya malu kerana tergamak membuat perancangan menukar kerajaan ketika negara masih berperang dengan koronavirus (Covid-19).

“Sedikit pun tidak mengendahkan kebimbangan rakyat sebaliknya hanya memikirkan kepentingan peribadi yang mahu berkuasa sebagai Perdana Menteri. Cukup-cukuplah. Rakyat sudah penat dengan semua sandiwara ini.

“Sudah lebih 20 tahun negara terpaksa melalui krisis politik hanya kerana Anwar Ibrahim hendak menjadi Perdana Menteri. Ia langsung tidak menguntungkan negara,” katanya.

Malah katanya, sejak kemelut politik itu bermula, ramai rakan pemimpin luar negara menzahirkan kebimbangan terhadap situasi di negara ini, terutama dalam konteks Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau berkata, tidak kira apa berlaku, jemaah menteri dan ahli Parlimen kerajaan mesti memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jangan kita menjadi anggota penting kerajaan, menikmati kelebihan yang diperoleh tetapi pada masa yang sama tidak menyokong kepimpinan.

“Ini mesti menjadi peringatan oleh semua menteri, timbalan-timbalan menteri dan ketua-ketua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang dilantik," katanya.

Namun beliau berpandangan, jika ada anggota kerajaan yang bertekad sudah tidak mahu menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada, eloklah berundur dari kerajaan.

Dalam kenyataan sama, bekas Naib Presiden UMNO itu turut mengingatkan barisan jentera dan kalangan pemimpin UMNO supaya tidak melayan propaganda Anwar.

“Saya melihat tujuan sidang media semalam adalah untuk mengalihkan perhatian khususnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah beberapa hari lagi.

“Ia seolah-olah ingin mengelirukan dan menanam rasa bimbang rakyat terhadap kestabilan kerajaan Persekutuan.

“UMNO mesti berwaspada dengan taktik Anwar dan sedar bahaya menyokong Anwar. Ini kerana, ia hanya akan membuka peluang kepada DAP untuk lebih berkuasa di negara ini seterusnya membawa mudarat kepada kepentingan agama, bangsa dan negara yang kita perjuangkan selama ini,” tambahnya.