'Bubar Parlimen jalan penyelesaian terbaik'

Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik kepada ketidaktentuan politik di Malaysia ketika ini.

Gesaan itu antaranya datang daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO susulan dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu bagi mengambil alih kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Anwar menyatakan demikian dalam satu sidang media khas di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur, semalam.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengatakan, bahawa kuasa memilih seharusnya dikembalikan semula kepada pengundi.

“Tidak mungkin Anwar akan menjadi Perdana Menteri tidak kira berapa ahli parlimen dan dari parti mana yang menyokongnya.

“Mari kita selesaikan Pilihan Raya Negeri Sabah terlebih dahulu dan kemudian kita harus membiarkan rakyat membuat pilihan mereka. Yang di-Pertuan Agong harus mengumumkan diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut,” katanya di Twitter, malam tadi.

Ahli politik lain yang menginginkan pilihan raya diadakan ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang juga mewakili BN seperti dilaporkan Malaysia Kini susulan pengumuman Anwar itu.

Sementara itu, bayangan yang sama turut diberikan pemimpin veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah, yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang seperti disiarkan Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah

Veteran UMNO itu mengatakan bahawa ahli parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat, tidak kira sama ada mereka mempunyai akuan bersumpah dari ahli parlimen.

“Ini semua tidak bermakna. Lucut atau tidak kuasa pemerintahan ditentu dalam Dewan Rakyat dengan ahli yang dapat hadir sendiri mengundi dan tidak boleh dilakukan secara proksi atau diwakili melalui surat sumpah.

“Perdana Menteri mesti menghadap Agong apabila beliau hilang sokongan untuk meletak jawatan PM dan mohon sama ada Agong bubar Parlimen untuk mengadakan PRU atau melantik ahli parlimen lain yang Tuanku berpendapat mempunyai sokongan majoriti ahli dalam Dewan Rakyat.

“Terpulang kepada Agong. Ahli parlimen tidak boleh ikut sesuka hati masing-masing, walaupun mendakwa mempunyai bilangan penyokong yang cukup, pandai-pandai mahu tubuh kerajaan tanpa dijemput oleh Agong berbuat demikian. Itulah caranya,” katanya.

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

Malah sebelum itu lagi antara pemimpin UMNO dilihat kerap meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membubarkan Parlimen ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.