Penghantar makanan dilanggar lari pada hari lahir

Mohammad Fakrul Azam terlantar dan semua keperluannya diuruskan keluarga selepas terlibat kemalangan langgar lari semasa bekerja sebagai penunggang grab makanan.
Mohammad Fakrul Azam terlantar dan semua keperluannya diuruskan keluarga selepas terlibat kemalangan langgar lari semasa bekerja sebagai penunggang grab makanan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bukan sahaja impian menyambut hari jadi bersama ibu tidak kesampaian bahkan kehidupan seorang penghantar makanan terpaksa dibantu oleh ahli keluarganya selepas pemuda itu kini cuma terlantar akibat menjadi mangsa langgar lari dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kangkar Tebrau di sini, pada 26 Jun lalu.

Pada hari yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan itu, Mohammad Fakrul Azam Md Rosli, 22, berhasrat meraikan hari jadi bersama-sama keluarga selepas habis waktu kerja sebagai penghantar makanan Grab Food.

Abang pemuda berkenaan, Mohd. Fakhrudin, 26, berkata, adiknya itu merancang membeli kek selepas balik kerja untuk dihadiahkan kepada ibu mereka bagi mengucapkan terima kasih di atas jasa wanita tersebut membesarkannya.

Menurutnya, bagaimanapun Mohammad Fakrul terlibat kemalangan dengan sebuah kereta yang keluar dari persimpangan jalan tidak lama selepas dia keluar rumah untuk bekerja.

Akibat kemalangan tersebut katanya, Mohammad Fakrul parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kerana cedera parah di kepala, patah tulang bahu dan paha kanan.

"Kesan kemalangan itu mengakibatkan mata sebelah kanan adik saya tidak boleh dibuka sepenuhnya dan dia tidak boleh berjalan selama kira-kira lima bulan. Dia hanya dibenarkan pulang setelah tiga minggu ditahan di wad HSA.

"Saya sedih melihat keadaan dia yang dahulunya seorang yang aktif dan ceria, tetapi kini hanya terbaring di atas katil. Dia hanya minum susu menggunakan saluran tiub setiap tiga hingga empat jam sehari selain terpaksa memakai lampin pakai buang," katanya ketika ditemui selepas program penyampaian sumbangan barang keperluan asas dan kerusi roda di Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Fakrul Azam terlantar dan semua keperluannya diuruskan keluarga selepas terlibat kemalangan langgar lari semasa bekerja sebagai penunggang grab makanan.
Mohammad Fakrul Azam terlantar dan semua keperluannya diuruskan keluarga selepas terlibat kemalangan langgar lari semasa bekerja sebagai penunggang grab makanan.

Sumbangan tersebut adalah daripada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Volunteer Pasir Gudang dan Geng Tolong Orang (GTO).

Mohd Fakhruddin yang masih belajar di kolej berkata, keluarganya membelanjakan RM800 sebulan membeli susu dan lampin untuk Fakrul Azam selain membayar sewa ambulans RM600 bagi menghantarnya menjalani rawatan di hospital.

Sementara itu, Presiden Volunteer Pasir Gudang, Nurul Ain Zakaria berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Katanya, bapa Mohammad Fakrul iaitu Md Rosli Md Nor, 58, sudah tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu manakala ibu mereka, Asiah Seman, 62, juga tidak bekerja dan mengalami masalah penglihatan.

Ketika ini katanya, hanya adik Mohammad Fakrul iaitu Nur Hidayah, 20, yang menyara keluarga dengan bekerja kilang dan mereka amat memerlukan sumbangan antaranya untuk membeli lampin dewasa, kain batik dan alat katil khas.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan, boleh berhubung dengan Mohd Fakhruddin menerusi talian 017-8099640 atau sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Mohd Fakhruddin Md Rosli 151285075388.