Kes baharu kembali dua digit, tiada kematian

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes baharu positif koronavirus (Covid-19) kembali dua digit iaitu 71 selepas ia dilapor melonjak kepada 147 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 10,576.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 777 kes. Daripada 71 kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warga dari Singapura dan Indonesia.

"Kes-kes berkenaan dilaporkan di Johor dan Selangor," katanya.

Beliau menambah, sebanyak 69 kes penularan di dalam negara dikesan melibatkan 43 kes rakyat tempatan dan 26 kes warga asing.

"Di Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 63 kes di Sabah membabitkan 47 kes daripada Kluster Bangau-Bangau dan 10 kes daripada Kluster Laut. Dua kes saringan kemasukan hospital di Sabah juga turut dikesan positif Covid-19.

"Kluster Benteng LD, saringan rujukan ke Hospital Tawau, saringan prosedur dan pra prosedur Hospital Semporna dan saringan bergejala di pusat perubatan di Kota Kinabalu masing-masing merekodkan satu kes," kata beliau.

Menurutnya, di Kedah pula, empat kes daripada Kluster Sungai dikesan manakala dua kes saringan bergejala melibatkan individu yang mempunyai sejarah pulang dari Semporna, Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, terdapat enam kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk dua memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, tiada kes baharu kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian adalah kekal sebanyak 133 kes iaitu bersamaan 1.26 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Seramai 64 kes yang telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 9,666 kes iaitu 91.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," kata beliau lagi.