Empat termasuk seorang penuntut edar ganja diberkas

Mohd Zaid (tengah) menunjukkan dadah yang telah dirampas di Balakong, Kajang.
Mohd Zaid (tengah) menunjukkan dadah yang telah dirampas di Balakong, Kajang.
A
A
A

KAJANG - Empat rakan termasuk seorang penuntut sebuah institut pengajian tinggi tempatan ditahan secara berasingan di Balakong di sini semalam kerana disyaki mengedar kanabis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 2.25 petang itu, polis menahan seorang lelaki di tempat letak kereta di Menara Simfoni, Balakong di sini.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai satu ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis seberat 256.5 gram," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hasil soal siasat, katanya, tiga lagi rakan lelaki itu diberkas di sebuah rumah di lokasi sama pada jam 2.45 petang.

"Pemeriksaan lanjut polis menjumpai enam ketulan mampat, selain 18 paket dan empat botol cecair berisi bahan disyaki dadah kanabis seberat 2,360 gram bersama peralatan untuk membungkus dadah," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,200 dalam serbuan berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati sindiket itu aktif dalam aktiviti pengedaran dadah jenis kanabis di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu," katanya.

Mohd Zaid berkata, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,541 dan jumlah dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 872 penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

"Hasil semakan mendapati dua daripada suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau berkenaan kes jenayah dan dadah, manakala hasil ujian air kencing terhadap kesemua lelaki itu dapati positif kanabis," katanya.

Menurutnya, kesemua lelaki berusia 24 tahun itu ditahan reman selama enam hari bermula hari ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.