Cuepacs minta JPA isi semula waran perjawatan

Adnan (depan, empat dari kanan) bersama ahli Kesoja selepas menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Kesoja ke-3 di Hotel Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini.
Adnan (depan, empat dari kanan) bersama ahli Kesoja selepas menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Kesoja ke-3 di Hotel Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengisi semula waran perjawatan yang diluluskan kerajaan sebelum ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, perkara itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan tidak akan mengurangkan kakitangan awam biarpun perkhidmatan e-Kerajaan dilaksanakan.

Beliau berkata, pengisian waran perjawatan itu tidak 100 peratus hanya sekitar 85 hingga 92 peratus melibatkan jawatan-jawatan di peringkat kerajaan Persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Cuepacs mengucapkan terima kasih atas ketegasan Perdana Menteri mengenai perkara ini. Cuepacs yakin dengan jumlah penjawat awam sedia ada ini memang perlu dikekalkan walaupun kerajaan memperkenalkan e-Kerajaan.

"Justeru dengan pengumuman Perdana Menteri ini bermakna pengisian tersebut perlu dibuka semula untuk memberi ruang kepada rakyat di luar sana yang ingin berkhidmat dengan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Kesatuan Kakitangan Kumpulan Sokongan Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Perak (Kesoja) ke-3 di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Perasmian mesyuarat itu disempurnakan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya menggesa kerajaan memansuhkan pekeliling bagi mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang diumumkan sebelum ini untuk tempoh tiga tahun, mulai 2019 hingga 2021.

Katanya, menerusi pekeliling tersebut, jabatan-jabatan terlibat perlu mengurangkan sebanyak dua peratus kakitangan mereka pada tahun ini dan tahun hadapan manakala tahun ketiga pengurangan sebanyak satu peratus perlu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna lima peratus penjawat awam hendak dikurangkan melalui dasar pengurangan penjawat awam yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

"Jadi Cuepacs memohon kepada JPA untuk memansuhkan arahan yang meminta jabatan untuk mengurangkan saiz perkhidmatan mereka setiap tahun itu," katanya.

Sementara itu, Adnan turut menggesa kerajaan mengambil semula pekerja-pekerja kontrak yang telah diberhentikan sebelum ini untuk kembali menyambung tugas sebagai penjawat awam.

Katanya, selepas kontrak disambung mereka boleh dipertimbangkan ke jawatan tetap di jabatan-jabatan berkaitan.