Polis rampas 345.4 kilogram ganja

Lukas (tengah) menunjukkan ketulan mampat dadah jenis ganja pada sidang media tadi.
Lukas (tengah) menunjukkan ketulan mampat dadah jenis ganja pada sidang media tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis merampas 352 ketulan mampat dadah jenis ganja selepas menahan seorang lelaki di Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara Selatan di Sungai Dua, Butterworth, Isnin lalu.

Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Lukas Anak Aket berkata, polis melepaskan beberapa das tembakan secara rambang susulan suspek enggan memberhentikan kenderaannya seperti diarahkan.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki berusia 27 tahun itu akhirnya ditahan dalam operasi khas oleh sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang selain Pasukan Gerakan Am (PGA) Bridged Utara.

"Dalam kejadian pada jam 9.45 pagi itu, polis terpaksa melepaskan tembakan secara rambang apabila suspek enggan memberhentikan kereta yang dipandunya secara melulu dan membahayakan keselamatan orang awam dan anggota kita.

"Pemeriksaan pada kenderaan suspek, kita tidak menjumpai sebarang barang terlarang. Susulan daripada penahanan suspek, polis memeriksa sebuah kenderaan jenis Daihatsu Gran Max di kawasan Butterworth dan menemui 352 ketulan mampat ganja seberat 345.4 kilogram di dalamnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.

Lukas berkata, dadah tersebut bernilai RM880,000 dan ia mampu digunakan oleh 690,800 penagih.

"Selepas rampasan dadah tersebut, kita berjaya menahan seorang lagi rakan suspek yang juga ahli sindiket berusia 33 tahun semalam. Suspek ditahan di kawasan Butterworth dan kita masih memburu beberapa lagi ahli sindiket tersebut. Kedua-dua suspek tidak bekerja.

"Polis turut menyita tiga buah kenderaan iaitu Toyota Camry, Volkswagen dan Audi dengan jumlah keseluruhan RM140,600. Oleh demikian, nilai sitaan dan rampasan dadah berjumlah RM1.02 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sindiket tersebut dipercayai baharu sebulan beroperasi yang mana, dadah tersebut adalah untuk edaran di kawasan utara tanah air.

"Kita percaya, sindiket ini mendapat bekalan dadah ini dari negara jiran malah tidak menolak sindiket ini juga mempunyai rangkaian di sana namun siasatan lanjut masih dijalankan. Ujian saringan kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin dan syabu.

"Suspek pertama mempunyai satu rekod lampau melibatkan judi manakala suspek kedua mempunyai empat rekod lampau iaitu dadah dan jenayah. Suspek pertama direman sehingga 1 Oktober sementara rakannya sehingga 28 September ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.