X

Kindly register in order to view this article
!

Cyberjaya bakal diberi nafas baharu menerusi kepakaran, teknologi dibangunkan warga Malaysia di China

Muhammad Alif ketika beri penerangan mengenai teknologi dihasilkannya yang dilaksanakan di China.
A
A

Cyberjaya

Victory Bench Hyperledger, sebuah syarikat dari China yang dibangunkan anak tempatan merancang memberi nafas baharu kepada Cyberjaya seiring perkembangan teknologi semasa untuk menjadikan bandar itu sebuah bandar maju dan pintar.

Pengasasnya, Muhammad Alif Iskandar Abdullah berkata, Cyberjaya dipilih kerana ia dikenali sebagai bandar teknologi maklumat yang mempunyai kemudahan infrastruktur asas seperti jaringan, perisian dan perkakasan dan storan yang perlu ditingkatkan selain memfokuskan digitalisasi dalam setiap aspek kehidupan.

Menurutnya, nilai pelaburan membangunkan projek itu kira-kira AS$50 juta sehingga AS$100 juta (AS$1= RM4.1360) dan bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan yang mempunyai tujuan sama membangunkan projek tersebut.

"Cyberjaya dahulu sangat dikenali dan menjadi tumpuan syarikat luar yang membangunkan teknologi. Kini ia dilihat sebagai satu pembangunan biasa dan tiada aplikasi teknologi terkini. Justeru, kita bantu bangunkan bandar ini sekali gus meningkatkan ekonomi Malaysia," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi penerangan mengenai Victory Bench Hyperledger Blockchain di Putrajaya.

Tambahnya, Victory Bench Hyperledger optimis rancangan tersebut diterima Kerajaan Malaysia memandangkan kerajaan turut merancang membangunkan Cyberjaya dan Multimedia Super Corridor (MSC) pada masa akan datang.

"Kami jangka ia akan dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini dan siap sepenuhnya pada 2020. Kami akan melakukan transformasi teknologi, iaitu menyediakan kepakaran dan teknologi yang dimiliki syarikat untuk membangunkan Cyberjaya yang mana teknologi itu telah digunakan bagi memajukan beberapa kawasan di China sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, untuk merealisasikan perancangan tersebut, ia perlu disokong penggunaan 5G sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mengakses pengetahuan dan teknologi baharu.

Diminta mengulas mengenai pemilihan Cyberjaya, Muhammad Alif berkata, kerana ia merupakan kawasan strategik dan Malaysia adalah negara pertama yang akan mendapat manfaat kepakaran dan teknologi syarikat itu memandangkan syarikat itu telah beroperasi selama 13 tahun di China.

"Saya akan membangunkan beberapa teknologi di Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai Smart and Safe City Solution International Hub, Artificial Intelligent (AI) Technology Research and Development International Hub, Finance Technology International Hub dan One Stop Solution International Hi-Tech Hub," katanya.

Muhammad Alif mengalu-alukankan penyertaan syarikat Malaysia terutamanya dalam kalangan Bumiputera.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!