X

Kindly register in order to view this article
!

Anak derhaka ugut mahu bunuh ibu

Suspek (dua kiri) diperintahkan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengugut ibunya menggunakan pisau. Gambar kecil:Pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk mengugut ibunya.
A
A

KULIM - Seorang tukang cuci diugut bunuh oleh anak lelakinya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah dekat Labu Besar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam tadi, apabila suspek yang berusia 23 tahun dan tidak bekerja itu meminta wang daripada wanita tersebut.

Menurutnya, suspek mengamuk lalu mengugut wanita berusia 57 tahun itu, selain mahu memecahkan barangan dalam rumah mereka.

"Sebelum kejadian, berlaku perselisihan faham antara suspek yang meminta wang daripada ibunya sebelum dia mengugut mahu membunuh ibunya menggunakan pisau serta merosakkan barang sekiranya laporan polis dibuat," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selepas menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Kob ke lokasi kejadian dan menahan suspek.

Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Polis turut merampas sebilah pisau sepanjang 15 sentimeter yang disyaki digunakan suspek untuk mengugut ibunya.

Suspek direman tiga hari bermula hari ini sehingga 26 September depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!