Anwar bersandiwara untuk raih sokongan: Rosol

Rosol Wahid
Rosol Wahid
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu hanya sandiwara untuk meraih sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau percaya tindakan yang dilihat agak 'terdesak' itu dilakukan berikutan kontroversi hebat membabitkan Parti Warisan Sabah (Warisan).

"Anwar tiada kuasa untuk menentukan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh atau sebaliknya. Kenyataan ini satu pembohongan semata-mata dan kalau benar beliau mempunyai majoriti kukuh, buktikan.

“Bagi saya pengumuman beliau semalam adalah satu lagi siri pembohongan yang dilakukan pada bulan September,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

Dalam pada itu, Rosol yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tindakan itu juga seolah-olah menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Tindakan beliau menyatakan kononnya kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan menunjukkan beliau tidak menghormati Seri Paduka Baginda yang ketika ini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Tiada sebab untuk menukar kerajaan mahu pun Perdana Menteri kerana rakyat kini gembira dengan pentadbiran kerajaan PN diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendakwa, kerajaan baharu tersebut adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti namun tidak menyebut berapakah jumlah majoriti yang diperolehnya.