Ketua sindiket dadah bersama anak isteri, sepupu ditahan polis

Adzli (dua kanan) menunjukkan dadah heroin serta barangan rampasan lain termasuk wang tunai dan barang kemas.
Adzli (dua kanan) menunjukkan dadah heroin serta barangan rampasan lain termasuk wang tunai dan barang kemas.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Polis menahan seorang ketua sindiket dadah bersama ahli keluarganya sekali gus merampas sejumlah 2.73 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM136,525 dalam serbuan di sebuah gudang dekat Tanah Seribu, Sungai Lalang, pada malam, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 8.45 malam itu, ketua sindiket berkenaan ditahan bersama 10 lagi individu termasuk isteri, anak, sepupu dan beberapa individu dipercayai pekerja kepada ketua sindiket dadah berkenaan.

"Kesemua mereka terdiri daripada enam lelaki, tiga perempuan dan dua remaja berusia dari 13 hingga 57 tahun. Dadah ditemui dalam sebuah kereta yang diparkir dalam gudang dipercayai untuk pasaran sekitar Sungai Lalang dan Gurun.

"Pemeriksaan ke atas gudang pula mendapati, terdapat kereta terpakai dan barangan runcit yang mana kita percaya ia hanya helah untuk mengaburi mata pihak berkuasa tentang pengedaran sindiket dadah di kawasan itu, namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Adzli menunjukkan dadah jenis heroin yang berjaya dirampas dalam sindiket pengedaran dadah dipercayai untuk pasaran sekitar Sungai Lalang dan Gurun.
Adzli menunjukkan dadah jenis heroin yang berjaya dirampas dalam sindiket pengedaran dadah dipercayai untuk pasaran sekitar Sungai Lalang dan Gurun.

Polis turut merampas, dua bentuk cincin emas, rantai, sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM2,100 dalam serbuan sama.

Menurutnya, hasil risikan mendapati, ketua sindiket berusia 38 tahun itu juga dikatakan mempunyai sejarah terlibat dalam geng kongsi gelap iaitu Geng 35.

"Berdasarkan rekod, dia baharu sahaja dibebaskan pada tahun 2018 kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes bunuh pada 2014 di Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

"Melalui maklumat risikan kita peroleh, lelaki terbabit aktif dalam kegiatan pengedaran dadah dan percaya sindiket ini beroperasi semula sebaik sahaja ketua ini dibebaskan dari penjara. Ketika ditangkap, dia didapati positif dadah jenis morphine," kata beliau lagi.

Semakan juga mendapati dua individu lain iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kesemua suspek direman bermula semalam sehingga 29 September 2020 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.