Trump enggan beri jaminan serah kuasa secara aman jika kalah

Trump bertanding bagi mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya presiden pada 3 November depan. - Foto AFP
Trump bertanding bagi mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya presiden pada 3 November depan. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam enggan untuk memberikan jaminan bahawa beliau akan menyerahkan kuasa jika kalah dalam pilihan raya November depan.

Kenyataan itu sekali gus dikritik oleh pencabarnya daripada Parti Demokrat, Joe Biden dan seorang anggota Parti Republikan yang disertainya.

"Baik, kita akan melihat apa yang bakal terjadi," kata Trump ketika ditanya dalam sidang akhbar Rumah Putih sama ada beliau komited dengan perkara paling asas dalam pemerintahan demokrasi di AS iaitu penyerahan kuasa jika berlaku perubahan presiden.

Biden yang menduduki tempat pertama dalam beberapa tinjauan pendapat Pilihanraya Presiden AS menyatakan perasaan tidak percayanya terhadap kenyataan tersebut.

"Apakah negara yang kita duduki sekarang ini?" Kata bekas Naib Presiden AS tersebut ketika ditanya komennya berhubung kenyataan Trump itu.

"Lihat, dia berkata perkara yang paling tidak rasional. Saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan," tambahnya lagi.

Senator daripada Parti Republikan, Mitt Romney berkata menerusi Twitter: "Asas kepada demokrasi ialah penyerahan kuasa secara aman tanpanya itulah Belarus."

Belarus dilanda satu siri tunjuk perasaan bagi membantah keputusan pilihan raya presiden yang berlangsung pada bulan Ogos lalu dan menyaksikan kemenangan Alexander Lukashenko sebagai presiden negara itu buat kali keenam. - AFP

Artikel Berkaitan: