Jamawi nafi beri wang kepada pengundi, hanya beri kad calon

Jamawi Jaafar
Jamawi Jaafar
A
A
A

KOTA KINABALU – Calon Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Jamawi Jaafar menafikan dakwaan kononnya beliau telah memberikan wang seperti yang tular dalam satu rakaman video baru-baru ini.

Beliau mengesahkan bahawa rakaman video berkenaan telah dibuat pada 15 September lalu namun yang diberikan kepada pengundi hanyalah kad calon sahaja.

“Rakaman itu betul namun saya bukanlah memberikan wang kepada pengundi tetapi itu cuma kad calon sahaja. Kad itu bila dilipat kelihatan berwarna putih, wang mana ada berwarna putih.

“Ketika itu saya melawat sebuah restoran dan kebetulan ada sepasang lelaki dan wanita menyapa dan saya pun menyerahkan kad calon saya kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, ada pihak yang menimbulkan perkara itu bertujuan untuk menjatuhkan dirinya sebagai calon.

“Orang di kawasan ini faham dengan saya, saya pergi banyak tempat dan bukan restoran itu sahaja, semua saya pergi,” katanya.

Terdahulu, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Jamawi berjaya memenangi kerusi DUN Kemabong namun menyertai Parti Warisan Sabah pada 11 Mei 2018 selepas dua hari terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Artikel Berkaitan: