TRW Kelantan FC bakal miliki pusat latihan sendiri

Zamburger (tiga dari kanan) bersama barisan pemain TRW Kelantan FC.
Zamburger (tiga dari kanan) bersama barisan pemain TRW Kelantan FC.
A
A
A

BACHOK - Pasukan The Red Warriors Kelantan FC (TRW Kelantan FC) bakal memiliki pusat latihan mereka sendiri pada masa hadapan apabila pemiliknya, Norizam Tukiman sedia melabur antara RM5 hingga RM10 juta bagi merealisasikan impian itu.

Norizam atau Zamburger berkata, pusat latihan yang akan dibangunkan itu mengikut acuan TRW Kelantan FC berpandukan kepada bajet tersebut sambil melihat kepada modul pembangunan bola sepak di Eropah dan Jepun.

"Kita akan secara berperingkat-peringkat mengikut perancangan yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jersi TRW Kelantan FC di sini malam tadi.

Jersi yang mempertaruhkan dua warna iaitu merah dan hitam dijual secara dalam talian menerusi platfrom Shopee dengan harga RM69 (edisi penyokong) dan RM99 (edisi pemain).

Menurutnya, pembinaan pusat latihan merupakan nafas baharu yang cuba disuntik dalam usaha meningkatkan lagi kualiti dan prestasi barisan pemain TRW Kelantan FC pada masa hadapan.

Barisan pemain TRW Kelantan FC menggayakan jersi baharu untuk baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Barisan pemain TRW Kelantan FC menggayakan jersi baharu untuk baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah mengenalpasti tiga lokasi yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak pusat latihan berkenaan di sekitar Kota Bharu dan luar dari jajahan itu.

"Namun, lokasi pusat latihan ini masih belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut perancangan pusat latihan itu akan dilengkapi dengan kemudahan padang, gim, bilik pemulihan (selepas sesi latihan), kafe dan banyak lagi.

"Apa yang penting permukaan padang perlu menepati piawaian sebagaimana ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA),"

Zamburger turut mendedahkan, TRW Kelantan FC akan menjalinkan kerjasama dengan sebuah pasukan yang beraksi dalam saingan liga kedua di Jepun.

Katanya, kerjasama itu merangkumi pelbagai aspek termasuklah taktikal.