Badut cari rezeki jual air serbat

Yusmanizam mempelajari cara membuat air serbat daripada keluarga isterinya dan menjual air tersebut pada harga RM6 sebotol.
Yusmanizam mempelajari cara membuat air serbat daripada keluarga isterinya dan menjual air tersebut pada harga RM6 sebotol.
A
A
A

GEORGETOWN - Lengkap berpakaian sut badut, Yusmanizam Hassan menghiburkan orang ramai di Pasar Chowrasta Pulau Pinang di sini sambil menjual air serbat yang dibuatnya sendiri untuk menjana pendapatan.

Yusmanizam, 34, juga dikenali sebagai ‘Yuyu the Clown’ berkata, pekerjaan sepenuh masanya itu terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19) dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, sebelum pelaksanaan PKP dikuatkuasakan, beliau biasanya membuat persembahan sekurang-kurangnya melibatkan lima acara seminggu dan mampu memperoleh sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 seminggu.

“Bagaimanapun, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, saya hanya menerima tiga tugasan.

“Benar, ia merupakan satu tamparan hebat buat saya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Susulan itu, Yusmanizam mem-buat keputusan untuk menjual air serbat bagi menambah pendapatan dan isterinya pula memberikan idea untuk berpakaian seperti badut ketika menjual air yang popular di Pulau Pinang bagi menarik pelanggan.

Yusmaniza mengenakan pakaian badut menjual air serbat kepada orang ramai di Pasar Chowrasta, Pulau Pinang bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas pendapatannya sebagai badut terjejas akibat pandemik Covid-19.
Yusmaniza mengenakan pakaian badut menjual air serbat kepada orang ramai di Pasar Chowrasta, Pulau Pinang bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas pendapatannya sebagai badut terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain menjual di Pasar Chowrasta, Yusmanizam turut menjual air serbat yang dibotolkannya itu dari rumah ke rumah.

Artikel Berkaitan:

“Saya menjual air campuran khas ini di sekitar Teluk Bahang ke Balik Pulau. Kadangkala saya menjualnya sampai ke Kepala Batas (di tanah besar),” katanya.

Malah, beliau turut mempromosikan produknya itu secara dalam talian dan sambutannya amat menggalakkan.

“Jualan terbanyak yang saya dapat setakat ini kira-kira 285 botol air serbat sehari.

“Sebotol air serbat dijual pada harga RM6, manakala dua botol dijual pada harga istimewa RM10,” katanya.

Dalam pada itu, Yusmanizam masih berharap dapat kembali melakukan pekerjaan sepenuh masa sebagai badut apabila PKP berakhir tetapi akan terus menjual air serbat sekiranya masih ada permintaan.

“Menjadi badut bukan sekadar hobi bagi saya tetapi sebagai kerjaya dan selagi saya dapat melihat anak-anak gembira dengan persembahan saya, maka saya juga gembira,” kata beliau. - Bernama