Amalan solat sunat rahsia kejayaan penerima Anugerah Abqari Perdana

Hasnul Fikri dan Maryam merupakan dua pelajar yang menerima Anugerah Abqari Perdana di Nilai kelmarin.
Hasnul Fikri dan Maryam merupakan dua pelajar yang menerima Anugerah Abqari Perdana di Nilai kelmarin.
A
A
A

NILAI - Bangun seawal jam 4.45 pagi dan menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum mula menghafal al-Quran menjadi rutin seorang pelajar Kolej Genius Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menerima Anugerah Abqari Perdana 2019 kelmarin.

Amalan kerohanian itu antara rahsia kejayaan Hasnul Fikri Ahmad Syukri, 17, yang merupakan antara dua penerima anugerah berkenaan yang diraikan sempena Majlis Penganugerahan Insan Junior Certificate (iJSC) dan Anugerah Kecemerlangan Abqari (Akrab) 2020 di kolej itu.

Anak sulung daripada lapan beradik itu berkata, dia sentiasa meletakkan ALLAH SWT sebagai keutamaan dan keluarga sebagai pendorong utama dalam kejayaannya.

“Saya berharap dapat aplikasikan ilmu al-Quran dalam kehidupan seharian saya dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta mahu membuka mata dunia bahawa Islam adalah agama terbaik.

“Untuk mendalami al-Quran ini kita perlu jadikan ia sebagai rutin dalam kehidupan. Kita kena paksa diri baca hari-hari yang lama-kelamaan akan jadi seronok untuk membacanya,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang agama di Universiti Oxford, United Kingdom.

Kamel (tengah) beramah mesra dengan penerima anugerah sempena Majlis Penganugerahan Insan Junior Certificate (iJSC) dan Anugerah Kecemerlangan Abqari 2020 di Kolej Genius Insan USIM di Nilai kelmarin.
Kamel (tengah) beramah mesra dengan penerima anugerah sempena Majlis Penganugerahan Insan Junior Certificate (iJSC) dan Anugerah Kecemerlangan Abqari 2020 di Kolej Genius Insan USIM di Nilai kelmarin.

Berkongsi kegembiraan atas anugerah sama, Maryam Mokhtar, 17, menjadikan amalan melakukan solat sunat duha setiap hari kerana percaya ia membuka jalan rezeki.

Dia yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, doa daripada ibu bapanya sangat membantu dalam kejayaannya selain dorongan daripada pensyarah dan rakan-rakan.

Artikel Berkaitan:

Maryam yang bercita-cita menjadi ahli farmasi dan pernah mengikuti program pertukaran pelajar ke Nazarbayev Intellectual School, Kazakhstan selama seminggu pada Februari lalu turut menyifatkan Anugerah Abqari Perdana sebagai pencapaian tertinggi diberikan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Kamel Mohamad berkata, seramai 192 pelajar diraikan.

Katanya, daripada jumlah berkenaan seramai 160 penerima Akrab dianugerahkan kepada pelajar yang cemerlang dalam aspek termasuklah akademik, hafazan dan kokurikulum.

“Sementara selebihnya adalah penerima iJSC iaitu anugerah kepada murid lepasan Asas 3 yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) melebihi 3.0 yang merangkumi komponen akademik, kokurikulum, hafazan dan pembangunan diri,” katanya.

Antara anugerah lain yang disampaikan dalam majlis yang telah memasuki tahun ketiga itu ialah Anugerah Khas Tamat 30 Juzuk, Anugerah Khas Olimpiad Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Emas Penyelidikan Peringkat Kebangsaan.