Perkasa usaha pulih lapisan ozon

Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Norlin Jaafar (kanan) menerangkan sesuatu kepada Tuan Ibrahim (dua dari kanan) ketika melawat tapak pameran sempena Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia dan Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020 di Putrajaya semalam.
Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Norlin Jaafar (kanan) menerangkan sesuatu kepada Tuan Ibrahim (dua dari kanan) ketika melawat tapak pameran sempena Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia dan Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020 di Putrajaya semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia berjaya mengurangkan sebanyak 19 peratus penggunaan hidroklorofluorokarbon (HCFC) iaitu bahan pemusnah ozon generasi kedua iaitu melebihi sasaran asal sebanyak 10 peratus yang ditetapkan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejayaan itu adalah usaha di bawah Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC (HPMP) peringkat satu yang bermula sejak tahun 2012.

Menurutnya, Malaysia kini dalam fasa HPMP peringkat dua bermula pada tahun 2017 sehingga 2021.

“Pada tahun ini, Malaysia telah mengurangkan penggunaan HCFC sebanyak 59 peratus berbanding sasaran sebanyak 35 peratus.

“Kerajaan juga sedang merangka beberapa strategi untuk membantu pihak industri dalam projek penukaran teknologi yang masih menggunakan bahan pemusnah ozon HCFC kepada teknologi mesra ozon,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia 2020 dan Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, usaha pemulihan lapisan ozon akan terus diperkasakan demi kelestarian alam apabila semua negara peserta bagi Protokol Montreal telah bersetuju dengan Pindaan Kigali untuk menyumbang ke arah pengurangan impak perubahan iklim.

“Malaysia dalam proses meratifikasi Pindaan Kigali untuk mengurangkan penggunaan HCFC yang memberi impak langsung kepada pemanasan global.

“Strategi pengurangan penggunaan HCFC akan bermula pada 2024 dengan mensasarkan pengurangan sebanyak 10 peratus pada 2029,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 24 Oktober 2020 di Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan.

“Mesej utama sambutan berkenaan akan memberi fokus kepada tiga aktiviti utama iaitu kaedah pelupusan sisa buangan elektrik dan elektronik, pengurangan plastik sekali guna serta penghijauan bumi,” katanya.