Jururawat rugi RM150,000 ditipu Macau Scam

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang jururawat kerugian RM150,000 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam kelmarin.

Mangsa membuat bayaran itu bagi mengelak dikenakan tindakan selepas didakwa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram bernilai RM3.2 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 57 tahun itu dihubungi seorang wanita memperkenalkan diri sebagai kakitangan Pos Laju berhubung satu bungkusan mencurigakan atas namanya pada11 September lalu.

Menurutnya, mangsa menafikan kaitannya dengan bungkusan yang dikatakan mengandungi kad bank itu sebelum panggilan disambung kepada pegawai polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa panik apabila pegawai polis berkenaan memaklumkan dia dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram melibat jumlah wang yang besar.

"Mangsa diarah membuat bayaran RM30,000 untuk menyelesaikan kes tersebut dan dia membuat bayaran itu melalui pemindahan wang ke sebuah akaun bank yang diberikan suspek," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran itu dibuat, suspek terus meminta mangsa membuat bayaran tambahan.

"Dalam tempoh 11 hingga 15 September lalu, mangsa membuat beberapa bayaran melalui tiga akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM150,000.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa akhirnya curiga dan syak telah ditipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka, Maran semalam," katanya.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan pemilik tiga akaun bank dan nombor telefon yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.