APMM tahan 13 warga asing

Sebahagian warga asing yang ditahan APMM Perak dalam Ops Khas di perairan Pangkor semalam.
Sebahagian warga asing yang ditahan APMM Perak dalam Ops Khas di perairan Pangkor semalam.
A
A
A

LUMUT - Seramai 13 warga asing diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Khas di sekitar perairan Pulau Pangkor dan Bagan Datuk di sini semalam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua mereka terdiri daripada warganegara Myanmar, Indonesia dan Nepal termasuk pelarian Rohingya.

Menurutnya, mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun itu bekerja di sangkar ikan dan menjadi kru bot nelayan tempatan.

"Dalam operasi ini kita menahan sebuah bot nelayan tempatan yang mempunyai empat kru Rohingya dan seorang warga Myanmar tanpa kebenaran pihak berkuasa.

"Lapan lagi warga asing yang ditahan merupakan pekerja di dua sangkar ikan melibatkan lima warga Indonesia dan tiga warga Nepal," katanya kepada pemberita selepas operasi di perairan Pangkor semalam.

Hadir sama dalam operasi berkenaan, Timbalan Pengarah Operasi APMM Perak, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain.

Shahrizan berkata, semua yang ditahan didapati tidak mempunyai permit kerja dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Bagaimanapun menurutnya, hanya seorang warga Indonesia yang mempunyai pasport manakala pelarian Rohingya pula masing-masing mempunyai kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Dalam perkembangan lain, Shahrizan berkata, sejak Januari lalu hingga kini, APMM Perak merekodkan 73 kes pelbagai kesalahan terutama berkaitan permit kerja warga asing yang bekerja dengan bot nelayan tempatan.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 48 kes dicatatkan menerusi Ops Benteng susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini termasuk rampasan 100 botol air ketum yang dibawa masuk untuk pasaran Pulau Pangkor.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kemasukan atau urusan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan sepanjang operasi tersebut walaupun terdapat cubaan mereka untuk masuk di sempadan perairan Perak dan Selangor.

"Kebanyakan kesalahan yang kita kesan adalah kesalahan berkaitan permit kerja warga asing," katanya.

Sementara itu, Shahrizan berkata, pihaknya turut menerima maklumat berkaitan cubaan menyeludup barangan keluar dari Pulau Pangkor yang kini merupakan Pulau Bebas Cukai.

Namun katanya, sehingga kini belum ada sebarang kes penyeludupan direkodkan di kawasan perairan pulau tersebut dan sebarang maklumat boleh terus disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.