X

Kindly register in order to view this article
!

2.57 tan ayam sejuk beku seludup dirampas

Azhari (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada ayam sejuk beku yang berjaya dirampas PGA Batalion 7.
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas ayam sejuk beku bernilai RM30,840 selepas menahan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi dan van di pangkalan haram Jitong pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan pada jam 6 pagi itu hasil rondaan rutin yang dijalankan oleh pasukannya di kawasan berkenaan dan telah terserempak dengan sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak dari perahu ke dalam kenderaan.

"Melihat kehadiran anggota PGA Batalion 7 Kuantan, kumpulan lelaki yang sebelum ini sedang leka memunggah kotak-kotak tersebut terus melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua buah kenderaan itu membawa kepada penemuan bungkusan kotak ayam sejuk beku seberat 2.57 tan.

Katanya, siasatan awal mendapati ayam-ayam yang dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah menggunakan pangkalan haram.

"Kita percaya ayam-ayam ini untuk pasaran tempatan, ini kerana permintaan yang tinggi disebabkan harganya murah," katanya.

Azhari berkata, status halal yang ada pada bungkusan ayam itu juga turut diragui.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM70,840 termasuk dua buah kenderaan yang digunakan untuk menyeludup barangan tersebut.

"Kes disiasat bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!