MAIPk agensi terbesar sedia bantuan bina, baik pulih rumah

Pasangan Rasdi Ibrahim, 50, dan Jamayah Jamid, 63, yang menerima bantuan bina rumah MAIPk ada 2016 lalu ketika ditemui sempena program Ziarah Korporat 2020: Menelusuri Kehidupan Asnaf di daerah Manjung semalam.
Pasangan Rasdi Ibrahim, 50, dan Jamayah Jamid, 63, yang menerima bantuan bina rumah MAIPk ada 2016 lalu ketika ditemui sempena program Ziarah Korporat 2020: Menelusuri Kehidupan Asnaf di daerah Manjung semalam.
A
A
A

MANJUNG - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menjadi agensi terbesar dalam menyediakan skim bantuan bina rumah dan baik pulih rumah di negeri ini dengan agihan peruntukan hampir RM20 juta setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, tahun lalu sahaja, lebih RM13 juta diperuntukkan untuk membina 290 rumah baharu di bawah program pembangunan sosial dan RM6.64 juta bagi menyelenggara 481 rumah.

Menurutnya, jumlah itu selari dengan sasaran MAIPk sendiri untuk menyediakan sekurang-kurangnya 300 rumah baharu dan membantu baik pulih 500 rumah golongan asnaf setiap tahun.

"Dalam pengagihan zakat di negeri ini, antara komponen terbesar adalah berkaitan peruntukan bantuan bina rumah dan penyelenggaraan rumah.

"Bagi bantuan bina rumah MAIPk terdiri daripada tiga jenis rumah dengan harga antara RM25,000 hingga RM50,000, ini mengikut kategori bilik ada yang satu bilik, dua dan tiga (bilik) bergantung kepada keadaan semasa golongan asnaf itu sendiri sama ada ibu atau bapa tunggal atau mempunyai ahli keluarga yang ramai.

"Kadang-kadang ada yang menjaga saudara mara dan ahli keluarga terlantar atau ibu bapa yang uzur, itu juga kita ambil kira dalam menentukan kelayakan jenis rumah ini, tetapi maksimum bantuan adalah RM50,000 untuk tiga bilik," katanya kepada pemberita semalam.

Shahrul Azam Shaari
Shahrul Azam Shaari

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam dan Sesi Dialog Korporat bersama MAIPk sempena program Ziarah Korporat 2020: Menelusuri Kehidupan Asnaf di daerah Manjung di sini.

Artikel Berkaitan:

Shahrul Azam mengakui permohonan bagi kedua-dua skim bantuan terbabit bertambah dengan tidak kurang 140 permohonan baharu diterima setiap bulan, namun selepas melalui saringan Jawatankuasa Baitulmal, didapati 20 ke 30 peratus daripada permohonan berkenaan tidak layak.

"Kita tak boleh andaikan permohonan tidak lulus tahun ini dibawa ke tahun seterusnya, tidak begitu kerana peruntukan ini berdasarkan peruntukan zakat, zakat dikutip baharu diagihkan mengikut tahun semasa.

"Ia berdasarkan bajet untuk fakir miskin, kita ada lapan golongan asnaf dan oleh itu golongan asnaf terutama fakir miskin ini merupakan kumpulan paling besar yang perlu menerima agihan zakat itu," katanya.

Katanya, kelayakan untuk bantuan MAIPk agak berbeza dengan garis kemiskinan di peringkat Persekutuan kerana penentuan utama agensi itu adalah berdasarkan hal kifayah iaitu had kecukupan isi rumah.

"Kita akan mendapatkan perakuan dan pengesahan daripada Jawatankuasa Fatwa, sekiranya ia sudah melepasi aspek hukum maka perkara inilah sebagai asas untuk menentukan individu atau keluarga itu mendapat bantuan.

"Bukan sahaja untuk bantuan bina rumah, malah penyelenggaraan, bantuan bulanan, kesihatan dan pelajaran juga adalah berdasarkan hal kifayah ini," katanya.