JaPen gerakkan Merdeka@Kelab Malaysiaku secara dalam talian

Aktiviti dalam talian diadakan bagi menggantikan amalan kebiasaannya dalam suasana norma baharu akibat pandemik Covid-19.
Aktiviti dalam talian diadakan bagi menggantikan amalan kebiasaannya dalam suasana norma baharu akibat pandemik Covid-19.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mengambil peluang terhadap arus perkembangan teknologi semasa, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) buat julung kalinya menggerakkan aktiviti Merdeka@Kelab Malaysiaku secara dalam talian.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JaPen, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata, pendekatan itu merupakan norma baharu dalam suasana pandemik Covid-19 yang sebelum ini dilaksanakan secara bersemuka di sekolah.

"Sebelum ini, kita menganjurkan aktiviti kelab di sekolah, namun pada kali ini kita buat secara online," katanya ketika wawancara khas di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pelbagai platform media sosial yang digunakan untuk menjalankan aktiviti itu antaranya WhatsApp, Instagram, Facebook, Telegram dan medium Google, Webex dan Zoom.

Beliau berkata, Merdeka@Kelab Malaysiaku yang merupakan salah satu aktiviti dilaksanakan di bawah Kelab Malaysia melibatkan pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 19 tahun.

Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku sedang memberikan taklimat mengenai pelaksanaan Kuiz Kenegaraan.
Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku sedang memberikan taklimat mengenai pelaksanaan Kuiz Kenegaraan.

"Antara pengisian program adalah Kuiz Kenegaraan, Melukis Bunga Kebangsaan, Penulisan dan Deklamasi Sajak, Selfie Wefie Merdeka serta Sayembara Cerpen Merdeka," katanya.

Mohd Sukari, aktiviti berkenaan bertujuan untuk membentuk pembangunan minda pelajar melalui penerapan nilai murni dan cintakan negara.

Artikel Berkaitan:

"Kegiatan bersepadu ini dilakukan secara perkongsian pintar antara JaPen dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Menurutnya, Program Merdeka@Kelab Malaysiaku dikendalikan oleh Pegawai Penerangan Daerah, Penyelaras Kelab Malaysiaku dengan dipantau oleh Sekretariat Kelab Malaysiaku peringkat negeri.

Kuiz Kenegaraan sedang dilaksanakan secara dalam talian.
Kuiz Kenegaraan sedang dilaksanakan secara dalam talian.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 809 buah sekolah menengah telah berdaftar dengan Kelab Malaysiaku dengan keahlian mencecah seramai 36,405 orang.

Kelab Malaysiaku ditubuhkan pada 26 Disember 1995 dengan menggunakan nama asalnya Kelab Setia.

Nama itu kemudiannya ditukar kepada Kelab 1Malaysia pada tahun 2012 sebelum dijenamakan semula pada 31 Mei 2018 sebagai Kelab Malaysiaku.