Semarak semangat patriotisme

Pertandingan Mewarna dan Melukis yang dianjurkan JaPen bagi menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Malaysia.
Pertandingan Mewarna dan Melukis yang dianjurkan JaPen bagi menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Malaysia.
A
A
A

PUTRAJAYA - Buat julung kalinya, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) selaku agensi jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menganjurkan Pertandingan Kenegaraan secara dalam talian.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JaPen, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata, pertandingan dalam talian diadakan bagi menggantikan amalan kebiasaannya dalam normal baharu akibat pandemik koronavirus (Covid-19).Menurutnya, JaPen memperkenalkan sebanyak tujuh pertandingan yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

“Dua daripada tujuh pertandi-ngan iaitu Pertandingan Pidato dan Pengisahan Kenegaraan masih berlangsung sehingga 31 Oktober depan,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Mohd Sukari berkata, sebanyak lima pertandingan lain yang di-anjurkan oleh JaPen ialah Sayembara Sajak dan Cerpen Merdeka, Pertandingan Mewarna dan Melukis, Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka serta Pertandingan Bintang Patriotik Smule.

Menurutnya, penyertaan bagi lima pertandingan itu telah ditutup, namun orang ramai diundang untuk menyertai dua pertandingan yang masih dibuka penyertaannya sehingga 31 Oktober depan.

“Program ini akan memberi peluang kepada masyarakat untuk mengangkat kreativiti dan idea masing-masing.

“Peserta perlu mengisi borang secara dalam talian di laman sesawang merdeka.penerangan.gov.my bagi menyertainya dan maklumat lanjut mengenai pertandingan terdapat dalam DBook berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai objektif program tersebut, Mohd Sukari berkata, Pertandingan Kenegaraan dianjurkan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri segenap rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Pertandingan ini dilaksanakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020,” katanya.Selain itu, katanya, program tersebut merupakan pengisian khas JaPen untuk rakyat Malaysia meskipun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) fasa dua bagi membendung penularan Covid-19.

“Jumlah penyertaan telah melepasi sasaran JaPen. Ia kali pertama program ini dipertandingkan secara dalam talian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jadi sambu-tan sangat menggalakkan,” katanya.