Skrip September 2008 berulang

Anwar mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu. -Foto Bernama
Anwar mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu. -Foto Bernama
A
A
A

PADA tanggal 16 September 2008, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa lebih 31 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) kononnya akan menyertai Pakatan Rakyat (PR) sekaligus menjadikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri kelima ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi terbubar.

Pada sidang media yang bertempat di ibu pejabat PKR di Merchant Square, Petaling Jaya pada jam 2 petang itu, Anwar juga mendedahkan telah menghantar surat kepada Abdullah berhubung perkara tersebut.

Ketika itu, PR mempunyai 81 daripada 222 kerusi Parlimen dan beliau juga mendakwa mendapat sokongan setiap jam daripada ahli Parlimen BN, walaupun beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar ahli Parlimen BN yang melompat menyertai PR."Kami mahu peralihan kuasa secara aman. Kami berharap BN tidak menguatkuasakan undang-undang darurat untuk menyekat ahli-ahli Parlimen pergi ke Dewan Rakyat atau menahan ahli-ahli Parlimen (kerajaan) atau menghalang mereka daripada menyertai PR.

“Saya sudah mempunyai jumlah yang cukup, untuk mendapatkan tandatangan mereka bukan satu masalah.”

Demikian beberapa ayat yang dilontarkan oleh Anwar pada sidang akhbar berkenaan.Menjawab dakwaan tersebut, Abdullah menegaskan bahawa kenyataan Anwar itu bersifat fatamorgana dan impian semata-mata.

Sidang media Anwar pada 16 September 2008.
Sidang media Anwar pada 16 September 2008.

Kira-kira 12 tahun kemudian, pada tanggal 23 September 2020 iaitu semalam, Anwar yang kini Presiden PKR dan menerajui Pakatan Harapan (PH), sebuah parti yang hanya memerintah negara selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), mengulangi episod yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

Artikel Berkaitan:

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Plot sama berulang. Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan telah mendapat sokongan yang kukuh daripada ahli-ahli Parlimen untuk beliau persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekaligus membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jumlah sebenar sokongan sekali lagi tidak didedahkan dan beliau menyerahkan kepada parti sekutu baharunya untuk membuat kenyataan.

Perlukan bukti

Kali ini, adakah ia tetap fatamorgana seperti yang pernah diungkapkan Abdullah pada September 2008 memandangkan situasi politik negara pada ketika ini tidak stabil dan sejarah tercipta di mana kerajaan bertukar tangan tanpa melalui PRU.

Benar atau tidak, Anwar seharusnya perlu menunjukkan bukti jumlah sokongan sedangkan beberapa pemimpin parti antaranya Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Alexander Nanta Linggi menoktahkan spekulasi berkenaan.

“Sidang media Anwar masih belum dipastikan lagi. Namun pengumuman ini masih perlukan pengesahan. Beliau juga tidak secara telus menyatakan siapa ahli Parlimen dan parti mana yang telah melompat ke PH dan menyokong beliau. “Boleh berangan-angan (menjadi Perdana Menteri) tetapi ia harus dibuktikan,” tegas penganalisis politik yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib kepada Sinar Harian semalam.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media semalam. -Foto Bernama
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media semalam. -Foto Bernama

Ironinya, kenyataan Anwar itu dibuat tiga hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mungkin menjadi gangguan bagi menerbitkan kekeliruan pengundi.

“Ahli Parlimen dari Sabah akan penentu sokongan terhadap kerajaan Persekutuan sama ada untuk bersama PN atau PH,” tegas Kartini.

Menerusi pengumuman yang dibuat Pengerusi PH itu, ia terus menunjukkan senario politik negara masih berantakan sehingga mampu berubah sekelip mata.

Ketika ini, tiada satu parti politik utama mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan sebaliknya masing-masing membentuk parti gabungan bagi memimpin negara tidak seperti kerajaan BN yang sebelum ini kukuh menerajui kerajaan dalam tempoh lebih 60 tahun sebelum tumbang pada PRU14 lalu.

Politik negara tidak stabil

Senario lompat parti yang kerap berlaku dalam kalangan ahli-ahli politik juga menyebabkan ribut politik yang tidak pernah reda meskipun pada saat negara berdepan pandemik Covid-19.

Menurut Penganalisis Politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, hal tersebut terjadi disebabkan sistem politik di negara ini tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen daripada memilih parti yang mahu disokong.

“Sememangnya sistem politik kita sebegini. Meskipun ketika pilihan raya rakyat memilih wakil rakyat namun ia terpulang kepada wakil rakyat untuk memilih Perdana Menteri yang seterusnya akan membentuk kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, ahli Parlimen berhak menentukan hala tuju politik masing-masing meskipun terpaksa beralih arah daripada parti yang disertai.

“Bagi mengelak berlakunya peristiwa lompat parti, sesebuah parti harus memainkan peranan dengan memilih calon yang tepat dan akan setia bersama parti walau apa pun yang terjadi,” katanya lagi.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media semalam. -Foto Bernama
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media semalam. -Foto Bernama

Beliau yang juga Pensyarah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) menambah, kerajaan dibentuk oleh Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti tidak akan menjadi isu meskipun ia adalah kerajaan gabungan.

Berhubung dakwaan Anwar yang telah memperoleh sokongan kukuh dan meyakinkan bagi menumbangkan kerajaan PN, Mohd Azizuddin berkata, ia hanya langkah awal dan proses berikutnya bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Pengumuman telah dibuat dan sekiranya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan barulah pemimpin PKR itu boleh memberitahu kepada umum berapa bilangan sokongan yang diperoleh,” katanya lagi.

Kata beliau lagi, mengadakan PRU dengan lebih awal adalah jalan terakhir sekiranya semua cara gagal menyelesaikan polemik politik masa kini.

No Image Caption