Calon dikuarantin guna media sosial untuk berkempen

Yusof menggunakan media sosial dan membuat rakaman video untuk berkempen ketika sedang menjalani kuarantin di Kampung Palakat, Sipitang hari ini.
Yusof menggunakan media sosial dan membuat rakaman video untuk berkempen ketika sedang menjalani kuarantin di Kampung Palakat, Sipitang hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Walaupun dikenakan perintah kuarantin sejak petang kelmarin, ia tidak melemahkan semangat calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamarlin Ombi untuk berkempen.

Bagaimanapun, beliau memilih menggunakan media sosial sebagai alternatif untuk berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Kamarlin berkata, beliau kini dalam fasa kuarantin selepas disahkan mempunyai kontak dengan seorang pemimpin UMNO yang diuji positif koronavirus (Covid-19).

“Ya, saya tengah kuarantin sekarang sejak petang semalam (kelmarin). Tetapi saya berjumpa dengan individu yang disahkan positif itu pada hari penamaan calon saja.

“Jadi sekarang saya gerakkan jentera saya untuk berkempen dan saya menggunakan pasukan multimedia untuk mendekati rakyat terutama golongan muda yang kita lihat semakin tertarik dengan cara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Kamarlin berkata, beliau bagaimanapun tidak mengalami sebarang gejala dan kini berada dalam keadaan sihat.

Sementara itu, pegawai media kepada calon DUN Sindumin, Mazlan Sanoh mengesahkan bahawa calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob sedang menjalani kuarantin secara berasingan daripada ahli keluarga di Kampung Palakat di sini.

Artikel Berkaitan:

Yusof membuat rakaman video untuk berkempen secara dalam talian kerana diarahkan menjalani kuarantin di Kampung Palakat, Sipitang semalam.
Yusof membuat rakaman video untuk berkempen secara dalam talian kerana diarahkan menjalani kuarantin di Kampung Palakat, Sipitang semalam.

“Yusof menjalani ujian calitan pada Isnin lalu sebelum diarahkan menjalani kuarantin di rumah sewa yang kami sediakan untuknya. Ini kerana di kediaman beliau terdapat ahli keluarga lain dan ini bagi mengelak penularan wabak itu,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Yusof tetap menjalankan kempen melalui dalam talian berikutan tempoh berkempen kini singkat sebelum hari pengundian pada Sabtu ini.

“Kami kempen menggunakan Skype dari rumah beliau di Kampung Palakat. Contohnya kalau beliau ada program di Sindumin, jadi kami buat Skype dari Kampung Palakat.

“Untuk pengundian nanti, kami akan rakam video amanat daripada Yusof dan dipasang di Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya.

Terdahulu, Kamarlin dan Yusof bersama seorang lagi calon DUN Sindumin, Sani Miasin juga dilaporkan sedang menjalani kuarantin.