Buruk baik aktiviti konvoi motosikal

No Image Caption
A
A
A

PADA minggu ini, saya ingin menarik perhatian pembaca tentang sikap penunggang motosikal yang berkonvoi di lebuh raya. Kebetulan minggu lalu saya bertembung dua kemalangan membabitkan motosikal yang berkonvoi beramai-ramai sempena menyambut Hari Malaysia.Dua nahas yang berlaku di depan mata itu berpunca daripada sikap mereka sendiri yang tidak mengikut peraturan jalan raya.

Akibat menunggang secara rapat dan memotong tanpa tujuan, ada yang terjatuh menyebabkan mereka tidak sempat mengelak atau memberhentikan motosikal.

Baru-baru ini, seorang rakan, Tok Meor merungut di Facebooknya. Katanya, kalau tak mendatangkan kebaikan yang nyata, elok haramkan sahaja aktiviti konvoi motosikal.

Alasan Tok Meor, bila sudah ramai, mereka menggila sehingga merisaukan keluarga di rumah.

“Ada yang menunggang motosikal pakai selipar. Bila berkonvoi, mereka jadi maharaja di lebuh raya. Kesemua lorong mereka sapu, berlagak macam mereka pun pembayar tol. Yang jadi marshall tu pulak boleh suruh kita ke tepi,” katanya.

“Semalam di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rawang, saya tengok dia orang meniarap atas motor sambil berlumba beramai-ramai. Menakutkanlah. Bayangkan kalau mereka terjatuh,” komen seorang rakan pada status Tok Meor tersebut.Dari sudut lain, berkonvoi sebenarnya aktiviti yang sihat kerana selain mengisi masa lapang, boleh mengeratkan hubungan silaturahim.

Paling seronok dapat pergi tempat-tempat menarik atau lokasi makan-makan dengan rakan-rakan yang ‘sekepala’.

Aktiviti bermotor sebenarnya boleh membantu mempopularkan tempat-tempat makan. Asal ada grup motor yang tular gambar mengenai tempat makan yang mereka kunjungi di media sosial, sudah tentu restoran itu akan popular.

Artikel Berkaitan:

Kalau nak kenal restoran itu tumpuan kaki motor atau tidak, lihat sahaja papan tanda yang disediakan untuk melekatkan sticker.

Contohnya, Mee Udang Lembah Beringin di Hulu Selangor; Nasi Bamboo Sungai Klah di Sungkai, Perak; Kopi Manshor di Paroi, Seremban atau Lemang To’ki di Bentong, Pahang.

Setiap hujung minggu pasti tempat-tempat itu penuh dengan mat motor yang datang dari seluruh pelosok negara untuk menjamu selera.

Sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang menjadi tumpuan kaki motor seperti Sate Tulang Senawang di Seremban, Negeri Sembilan; Kari Kambing 40 Hari di Yong Peng, Johor; Ikan Bakar Parameswara dan Asam Pedas Laksamana di Melaka.

Hakikatnya, banyak aktiviti berfaedah dapat dilakukan dengan jentera dua roda itu, bukan setakat merempit di lebuh raya.

Apabila artikel mengenai Bukit Fraser disiarkan dalam ruangan ini minggu lalu, saya dihubungi sahabat sejak di bangku sekolah, Dr Mohd Azhar Mohamed Ali yang kini menjadi Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Katanya, dia ingin membetulkan sedikit info dalam artikel itu. Menurut Mohd Azhar, Bukit Fraser bukan sepenuhnya di bawah pentadbiran Pahang.

Katanya, ramai yang tidak tahu fakta itu, sebab Bukit Fraser terlalu sinonim dengan Pahang berbanding Selangor.

“Sebahagian daripada pentadbiran Bukit Fraser di bawah pentadbiran MDHS. Laluan basikal yang popular bermula dari Sungai Chiling ke rumah Gap berada di bawah Selangor. Maklumat yang tepat sekurang-kurangnya membantu Selangor dalam mempromosikan pelancongan negeri ini,” jelasnya.

Begitu juga Genting Highlands, katanya, ramai yang menyangka pentadbiran bukit peranginan itu sepenuhnya di bawah kerajaan Pahang.

“Sebenarnya, sebahagian di bawah MDHS iaitu sempadan Ria Apartment dan Maxxim Hotel, cuma banyak pembangunan di bawah Pahang. Ralat juga sebab semua orang ingat Pahang, sedangkan sebahagian memang di bawah pentadbiran MDHS,” katanya.

Sebagai pegawai yang bertanggungjawab dalam pentadbiran MDHS, sudah tentu beliau mempunyai banyak maklumat terperinci mengenai kawasan pentadbirannya, sedangkan saya mengakui memperoleh maklumat tersebut hanya daripada internet.

Maklumat itu entah sahih, entah tidak.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian