Kerajaan PN perlu dikekalkan: MB Kedah

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dikekalkan kerana Malaysia kini muncul antara negara terbaik mengekang penularan koronavirus (Covid-19) serta pemulihan ekonomi menunjukkan trend yang meyakinkan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kadar pemulihan ekonomi negara daripada penguncupan sebanyak 25.4 peratus dalam tempoh tiga bulan antara April hingga Jun lalu membuktikan kesungguhan dan permuafakatan kerajaan serta rakyat berdepan cabaran berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap sasaran ekonomi negara untuk kembali berkembang pada tahap lima hingga lapan peratus pada tahun hadapan dapat dicapai.

"Untuk itu, kerajaan yang ada pada hari ini perlu dikekalkan. Rekod jelas membuktikan keupayaan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin menangani krisis kesihatan dan ekonomi dengan cekap lagi efisien," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi berkata, Kedah menyambut baik langkah kerajaan Persekutuan melaksanakan pakej bantuan Kita Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri pada perutusan khas hari ini.

Menurutnya, peruntukan Geran Khas Prihatin sebanyak RM600 juta, Subsidi Upah 2.0 berjumlah RM2.4 bilion dan Bantuan Prihatin Nasional 2.0 bernilai RM7 bilion bukti keprihatinan Kerajaan PN terhadap kesukaran hidup rakyat terutama di peringkat bawah dalam mengharungi pandemik Covid-19.

"Di peringkat negeri, pesanan Perdana Menteri supaya pemimpin kerajaan lebih kerap turun mendengar sendiri masalah rakyat akan jadi peringatan buat bagi diri saya, anggota Exco Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Kita juga akan memberi sepenuh perhatian terhadap pesanan untuk kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dipertingkatkan bagi memastikan negara dapat segera keluar dari zon yang mencabar ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan amat dihargai kerana memberikan perhatian dan kerjasama yang baik kepada Kedah dalam menjayakan projek berimpak tinggi selain isu-isu keperluan asas seperti bekalan air dan infrastruktur luar bandar.