10 RUU diluluskan di Dewan Negara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan nilai ambang hutang minimum dan hukuman lebih berat bagi pemanduan di bawah pengaruh alkohol adalah antara perkara signifikan mendapat kelulusan Dewan Negara pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang menutup tirai petang tadi.

Masing-masing diluluskan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

Turut diluluskan adalah tiga RUU berkaitan pandemik Covid-19 iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

Selain itu, tiga rang undang-undang berkaitan mahkamah iaitu Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020, Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020 turut diluluskan pada persidangan yang mengambil masa selama 11 hari itu.

Dua lagi RUU yang diluluskan ialah Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

Persidangan kali ini turut menyaksikan kali pertama Tan Sri Dr Rais Yatim memainkan peranan sebagai Speaker Dewan Negara bagi menggantikan Tan Sri S A Vigneswaran yang tamat perkhidmatan.

Bekas Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu dilihat cekap dan tegas dengan peraturan mesyuarat yang mementingkan ketepatan masa menyebabkan ramai Senator kerap ditegur apabila ‘meleret-leret’ semasa sesi soal jawab dan bahas.

Selain itu, Rais yang turut dikenali sebagai tokoh budaya juga sering menegur secara berkias, namun kadangkala ‘pedih’ terhadap mana-mana ahli Dewan Negara mahupun menteri serta timbalan menteri yang menggunakan perkataan bahasa Inggeris semasa persidangan menyebabkan ramai Senator selepas itu dilihat lebih berhati-hati dalam berucap terutama semasa di bawah kendaliannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: